Oleh Yusrin Junaidi –
Lima orang pelajar tempatan telah dipilih sebagai penerima biasiswa Sultan’s Scholar 2025, yang merupakan satu pengiktirafan tertinggi bagi pelajar cemerlang yang berpotensi besar menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.
Penerima biasiswa berprestij itu terdiri daripada Awangku Muhammad Eljaz Mateen bin Pengiran Muhammad Khairul Nizam, Awang Ahmad Danish Hakimi bin Shufiady, Awang Muhammad Saedon bin Haji Sahralidin, Awang Muhammad Mughni bin Haji Mohd Salleh dan Dayang Dayana binti Adi Rani Soffian.
Mereka akan melanjutkan pengajian masing-masing di institusi pengajian tinggi terkemuka dunia dalam bidang yang berbeza, namun berkongsi matlamat yang sama iaitu menyumbang kepada pembangunan negara selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Semasa temu bual bersama Media Permata, masing-masing telah mengongsikan perasaan, cabaran serta pengalaman memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Awangku Muhammad Eljaz Mateen, 19, pelajar lepasan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, menyatakan rasa syukur kerana dapat menggembirakan keluarga, guru dan rakan-rakan yang sentiasa menjadi tonggak kekuatan sepanjang perjalanan akademiknya. Beliau menekankan kepentingan disiplin, belajar secara bijak selain memperkukuh hubungan dengan Allah SWT dan ibu bapa.
Menurutnya, cabaran terbesar yang dihadapi adalah semasa mengikuti pembelajaran A Level yang penuh dugaan, namun sokongan keluarga, guru dan rakan telah membantunya bangkit. Beliau bercita-cita untuk menceburi kerjaya akademik atau bidang fizik perubatan yang menyumbang kepada Wawasan 2035, khususnya dalam melahirkan rakyat berpendidikan serta meningkatkan kualiti hidup.





Sementara itu, Awang Ahmad Danish Hakimi, penuntut lepasan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Matematik dan Statistik. Beliau menyifatkan penerimaan biasiswa ini sebagai penghargaan atas kerja keras bertahun-tahun serta pengorbanan keluarga.
Cabaran besar bagi dirinya adalah menyiapkan kursus penulisan panjang dalam program International Baccalaureate (IB), namun ia mengajarnya berfikir secara kritis seperti seorang akademik. Beliau berhasrat menyumbang dalam bidang statistik untuk membantu penilaian dan pelaksanaan dasar negara seiring dengan matlamat Wawasan 2035.
Seorang lagi penerima biasiswa, Awang Muhammad Saedon, 19 tahun, lepasan Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), akan meneruskan pengajian di Trinity College Dublin.
Menurutnya, pencapaian ini adalah hasil doa dan pengorbanan ibu bapa dalam mendidik anak-anak.
Beliau menghadapi cabaran menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran antarabangsa dan program IB semasa di JIS, di samping menyeimbangkan aktiviti kokurikulum. Beliau berazam menjadi pakar geriatrik bagi menangani cabaran peningkatan warga emas di masa hadapan serta menyumbang dalam penggubalan dasar kesihatan negara.
Manakala penuntut lepasan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Awang Muhammad Mughni akan melanjutkan pengajian di Maahad Qiraat Shoubra, Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir. Beliau menzahirkan rasa syukur kerana dapat meringankan beban keluarga dan melihat biasiswa ini sebagai dorongan untuk berusaha lebih gigih.
Mengongsikan pengalamannya semasa belajar di ITQSHHB, beliau perlu menyeimbangkan tugas sebagai pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar dengan pengajian, khususnya semasa mengendalikan program Ziarah Ilmiah ke Kuala Lumpur. Beliau bercita-cita menjadi pakar qiraat untuk menyumbang kepada pembinaan masyarakat celik Al-Quran selaras dengan aspirasi Negara Zikir.
Sementara itu, Dayang Dayana binti Adi Rani Soffian, 18, penuntut lepasan Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah, bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau merafak sembah junjung kasih kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan atas penganugerahan biasiswa berkenaan yang dianggap sebagai satu amanah besar.
Beliau bercita-cita mendalami ilmu Syariah untuk membimbing masyarakat agar lebih memahami hukum-hakam Islam berlandaskan Ahli Sunnah Waljamaah.
Ketika temu bual, masing-masing menekankan pentingnya usaha berterusan, ketabahan menghadapi cabaran serta sokongan keluarga dan guru dalam membentuk kejayaan mereka.
Mereka turut menitipkan nasihat kepada rakan-rakan belia agar tidak mudah berputus asa, sentiasa istiqamah dalam menuntut ilmu, serta menjadikan kegagalan sebagai peluang untuk belajar dan bangkit lebih kuat.

