Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berharap jurulatih tambahan dibawa ke Komanwel

    KUALA LUMPUR, 13 Feb – Ketua jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam berharap dapat membawa seorang lagi jurulatih tambahan yang mempunyai pengetahuan asas pengiraan markah acara itu ke temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April ini.

    Beliau berkata ia bagi membantunya menghadapi persaingan sengit para jurulatih dalam memastikan setiap atlet berjaya selain kehadiran seorang jurulatih tambahan mampu melancarkan segala perancangan dan strategi pertandingan di sana.

    “Sukan Komanwel ini bukan seperti kejohanan biasa kerana markah keseluruhan tidak berdasarkan berapa berat yang atlet itu angkat tetapi ia berdasarkan satu formula yang mengambil kira pengiraan berat badan atlet dan jumlah angkatannya.”

    “Jadi, di sana saya jangkakan akan timbul persaingan yang sengit antara jurulatih untuk memastikan setiap atletnya berjaya. Oleh sebab itu, saya beranggapan adalah penting untuk kita juga mempunyai satu jurulatih tambahan yang dapat bekerja bersama-sama dengan saya di sana,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan ketua kontinjen Huang Ying How ke kem latihan skuad powerlifting di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan di sini, hari ini.

    Pada masa sama, Jamil berkata kehadiran jurulatih tambahan juga dapat mengelakkan insiden sama sewaktu edisi 2014 di Glasgow, Scotland berulang, apabila atlet negara Jong Yee Khie terlepas pingat perak akibat strategi pengiraan angkatan berat yang dilakukan skuad powerlifting India pada saat akhir.

    “Kita hanya kalah satu mata meskipun atlet kita berjaya mengangkat beban yang lebih berat tetapi disebabkan strategi di saat akhir yang dilakukan skuad India, mereka berjaya merangkul pingat perak,” katanya.

    Jamil berkata setakat ini hanya beliau seorang sahaja akan ke Sukan Komanwel 2018 bersama-sama dua atlet iaitu Yee Khie dan atlet muda, Bonnie Bunyau Anak Gustin. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda