Penyanyi Datuk Nora Ariffin tiba di Mahkamah Rendah Syariah Petaling kira-kira pukul 9 pagi Isnin bagi menghadiri sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang melibatkan kes perceraian dengan suaminya, Dr Rushdi Ramli.
Nora atau Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, hadir ditemani kakak angkatnya, Rafeah Ariffin yang juga bertindak sebagai wakilnya dalam proses tersebut.
Menurut laporan mStar, Nora berkata dia menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada mahkamah dan berharap yang terbaik buat kedua-dua pihak.
“Saya minta yang terbaik sebab kami sudah berbincang. Kita berserah kepada pihak mahkamah, dan apa sahaja keputusan, saya terima,” katanya kepada mStar.
Bercerita tentang hubungan dengan suami, Nora memberitahu mereka masih berhubung walaupun sedang berdepan kemelut rumah tangga.
Menurutnya, kesibukan kerja masing-masing juga tidak menghalang Rushdi untuk pulang ke rumah.
“Hubungan saya dengan suami macam biasa, cuma kami masing-masing sibuk, kami tidak bermusuh, tetapi tahu keadaan sebenar. Teman itu tiada tetapi masih bertanya khabar,” ujarnya.
“Dia masih balik dan menjenguk rumah sebab kami masih ada ikatan,” jelasnya.
Sebelum ini, Nora melantik Rafeah sebagai wakil JKP manakala Rushdi memilih rakannya, Syamsul Omar untuk mewakili pihaknya.
Krisis rumah tangga pasangan ini menjadi perhatian umum sejak 12 Ogos tahun lalu selepas Nora memuat naik video yang memaparkan suaminya melafazkan cerai terhadapnya.
Akibat terlalu banyak memendam rasa, Nora memfailkan permohonan cerai pada 21 April lalu. – Agensi


