Selepas setahun menimang cahaya mata sulung, Siti Aafiyah, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza berharap, impiannya untuk menambah bilangan ahli keluarga akan dimakbulkan Allah.
Siti, 40, berkata dia memang mempunyai hasrat untuk menambah zuriat dan berharap impian itu terlaksana sebelum usianya menjengah 43 tahun.
“Saya memang suka mempunyai anak yang ramai, namun hanya berpeluang merasai nikmat sebagai ibu ketika usia menghampiri 40 tahun. Dalam hal ini, saya berserah kepada ketentuan rezeki.
“Saya hanya mencuba yang termampu. Kalau kesihatan mengizinkan, saya berdoa sangat ia menjadi realiti sebelum usia 43 tahun.
“Saya bagaimanapun, perlu berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan bagi memastikan fizikal saya benar-benar bersedia. Doakan saya!,” katanya yang ditemui pada majlis perjumpaan Hari Raya bersama kelab peminatnya, Siti Zone, baru-baru ini.

Penyanyi lagu Anta Permana itu berkata, perjalanan hidupnya semakin indah selepas melahirkan Aafiyah.
Melihat anak perempuannya itu membesar di depan mata, membuatkan Siti berasa, masa berjalan terlalu pantas.
Pada majlis itu, Siti sempat menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu seperti Sesuci Lebaran, Anta Permana, Nazam Lebaran dan single terbaharu, Ikhlas yang menyaksikan gandingannya bersama Taufik Batisah dan Nissa Sabyan.
“Majlis ini amat bermakna kerana membabitkan peminat setia. Ramai yang mahu turut serta, tetapi ruang dan tempat duduk sangat terhad.
“Jika diberi peluang lagi untuk menganjurkan acara seperti ini, saya berharap ia dapat dilakukan di lokasi yang lebih besar,” katanya. – Agensi