Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Berbicara atau berkata-kata adalah salah satu cara kita berhubung ataupun berkomunikasi dan merupakan antara nikmat terbesar yang Allah SWT anugerahkan kepada manusia.
Nikmat pandai berkata-kata yang dikurniakan Allah SWT kepada kita ini amat besar nilainya dan kita wajib mensyukurinya.
Khatib menekankan perkara itu pada khutbah Jumaat bertajuk Adab Berbicara dalam Islam, hari ini.
Khatib seterusnya mengingatkan bahawa sebagai orang Islam, kita hendaklah sentiasa menjaga adab dan etika ketika berbicara seperti yang sudah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Ia kerana tidak sedikit orang berdosa kerana tidak mengawal tutur katanya. Begitu juga ada yang tercela kerana terjebak dengan tutur kata sendiri dan malah ada yang bermusuhan angkara tutur kata dan berbicara yang tidak terkawal.
Dalam pada itu, khatib turut mengingatkan dalam khutbahnya, tiada satu pun perkataan yang terkeluar dari mulut dan lidah kita yang akan terlepas daripada catatan Allah SWT.
“Semua yang keluar diucapkan, sama ada keburukan seperti berdusta, mengumpat, memfitnah, berkata keji atau ucapan yang membawa kebaikan dan manfaat seperti nasihat dan berzikir melainkan semuanya ada di sisi setiap kita, malaikat yang siap sedia mengawal dan mencatat segala-galanya,” ujar khatib.
Dalam khutbah berkenaan, khatib juga menjelaskan antara adab dan etika yang mesti dijaga ketika berbicara itu ialah bersopan santun kerana dengan beradab sopan bukan hanya dari perlakuan dan perbuatan tetapi juga dari tutur kata yang baik maka gunakanlah bahasa yang sopan dan lemah lembut ketika berbicara.
Selain itu, kita juga hendaklah mengucapkan perkataan yang baik atau diam, menjauhi umpatan dan fitnah, tidak berdusta dan menghindari perkataan yang kasar, buruk dan penuh kebencian.
Dalam hal tersebut, kita juga disarankan untuk mengurangkan dan menghindari dari banyak bercakap dan hal-hal yang tiada bermanfaat dan sia-sia kerana banyak bercakap boleh menyebabkan seseorang itu melakukan dosa tanpa disedari serta juga menjaga rahsia kerana menjaga rahsia termasuk amanah yang wajib untuk dijaga.
“Seseorang yang membocorkan dan menyebarkan rahsia itu termasuk ke dalam kalangan orang yang mengkhianati amanah dan perbuatan tersebut merupakan salah satu daripada sifat orang-orang munafik,” tegas khatib.
Khatib turut menyentuh dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, ada tiga golongan yang paling dibenci Rasulullah SAW apabila mereka berbicara iaitu Thartharun iaitu golongan yang bercakap seolah-olah memiliki kepandaian tentang apa yang dikatakan tetapi hakikatnya tidak, atau cakap berjela-jela yang tidak berfaedah; Mutasyaddiqun iaitu golongan yang suka bercakap dengan gaya yang merendahkan atau meremehkan orang lain dan Mutafaihiqun ialah golongan yang bila bercakap suka bercerita tentang dirinya sahaja untuk menonjolkan dirinya daripada orang lain.
Di akhir khutbah, khatib antaranya menekankan untuk berhati-hati ketika menuturkan kata, jagalah adab dan etika ketika berbicara dengan sesiapa pun, baik terhadap orang tua, muda ataupun kanak-kanak dengan memastikan tutur kata yang baik, berlemah lembut dan berbudi bahasa.