Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berhati-hati ketika cuaca aktif

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dalam masa negara berada dalam monsun barat daya sehingga September ini.

    Semasa monsun barat daya, keadaan atmosfera negara pada kebiasaannya agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan dan keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya semasa tempoh ini.

    Keadaan cuaca diramalkan aktif bagi beberapa hari akan datang bermula 14 hingga 20 Ogos dengan hujan lebat dijangka berlaku pada waktu awal pagi terutama di kawasan pesisiran negara.

    Manakala, hujan berpetir juga dijangka berlaku pada waktu petang di kawasan pedalaman dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam.

    Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir, dan keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, di antara 0.3 hingga 0.6 meter.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dalam masa negara berada dalam monsun barat daya sehingga September ini. – GAMBAR SERAHAN BDMD

    Sehubungan itu, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) menasihatkan kepada orang ramai akan terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutama di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Orang ramai, pemandu di jalan raya dan juga para pelaut juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit BDMD iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114, melayari laman sesawang www.met.gov.bn, laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram (Brunei Weather).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda