Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Lebih 25 peserta yang menyertai Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah Negara Brunei Darussalam diseru untuk sentiasa bersikap lebih berhati-hati semasa berkomunikasi menggunakan Internet dan menghantar atau berkongsi apa jua maklumat peribadi tentang diri mereka atau orang lain dalam media sosial.
Perkara itu ditekankan oleh timbalan-timbalan pendakwa raya, Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof dan Awang Aminuddin Zaki Rahman semasa Taklimat Jenayah Siber serta Risiko dan Bahaya Media Sosial yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan Sungai Kebun hari ini. Dayangku Hazirah berkata, perkongsian maklumat peribadi kepada orang lain yang tidak dikenali dalam media sosial yang sering digunakan sekarang seperti WeChat, Facebook, Instagram, Twitter, Snapchat, YouTube, Tumblr, WhatsApp dan Telegram boleh mengundang buli siber termasuk penipuan dalam talian dan peras ugut.
Beliau menegaskan lagi, individu yang mengongsikan maklumat yang lebih dan peribadi di laman sosial seperti itu sememangnya berbahaya kerana dikhuatiri orang lain akan mudah mengambil kesempatan atas apa yang dikongsikannya.
Para peserta program juga diberikan penerangan mengenai kes-kes jenayah siber yang telah didakwa di negara ini termasuk yang disebabkan daripada mesej-mesej tular dan penyebaran maklumat palsu mengenai orang lain. Taklimat itu bertujuan untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat awam dan meningkatkan kewaspadaan mereka terhadap jenayah siber selain memberi pendedahan maklumat dan informasi berkaitan isu-isu perundangan.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P12-NEW_031117.jpg)