(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Ketika menjalani ibadah puasa kita dituntut agar mengelakkan diri daripada perkara yang boleh menyebabkan puasa terbatal atau terjejas kesempurnaan ibadah puasa yang kita laksanakan. Perkara ini boleh terjadi umpamanya apabila seseorang yang sedang berpuasa melakukan mandi sama ada mandi wajib, mandi sunat atau mandi biasa, berwudhu atau bersiwak.
Perbuatan-perbuatan ini pada dasarnya tidak membatalkan puasa, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu kita wajib melakukannya sekalipun ketika kita sedang menjalani ibadah puasa, umpamanya berwudhu atau mandi hadas besar untuk melaksanakan ibadah-ibadah yang mana dipersyaratkan supaya kita suci daripada hadas. Cuma kita hendaklah berhati-hati dan berwaspada sewaktu mandi, berwudhu atau bersiwak.
Mandi ketika berpuasa
Mandi wajib ialah mandi yang disebabkan oleh haid, nifas, wiladah dan junub.
Mandi junub setelah terbit fajar sadiq
Waktu wajib berpuasa itu ialah apabila terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari. ‘A’isyah dan Ummu Salamah Radhiallahu ‘anhuma pernah ditanya mengenai orang yang masih junub di waktu fajar, mereka menjawab yang maksudnya:
“Nabi SAW pernah mendapati waktu Subuh sedang Baginda dalam keadaan junub (kerana jimak) bukan kerana mimpi, kemudian Baginda berpuasa.” (Hadis riwayat Muslim)


Menurut hadis tersebut, Rasulullah SAW meneruskan puasa setelah terbit fajar sadiq walaupun Baginda masih dalam keadaan junub.
Maka berdasarkan hadis tersebut, dijadikan sandaran hukum apabila seseorang berjimak atau bersetubuh pada malam hari puasa dan dia masih dalam keadaan junub (belum mandi wajib) setelah terbit fajar sadiq, maka sah puasanya.
Begitu juga halnya, apabila perempuan yang berhenti darah haidnya atau nifas sebelum terbit fajar sadiq dan dia berniat puasa untuk esok harinya, maka sah puasanya itu walaupun dia belum mandi wajib setelah terbit fajar sadiq.
Sungguhpun demikian, melakukan mandi wajib sebelum masuk waktu puasa adalah sunat, agar seseorang itu menunaikan puasa dari permulaan waktunya dalam keadaan suci dan dapat mengelakkan daripada termasuk air ke dalam rongganya seperti batin telinga atau sebagainya.
Air masuk ke dalam rongga ketika mandi
Maksud rongga ialah apa sahaja yang dinamakan rongga seperti rongga kerongkong atau mulut, rongga hidung, rongga telinga dan sebagainya.
Ketika mengerjakan ibadat puasa, disyaratkan rongga-rongga tersebut supaya tidak dimasuki oleh benda yang membatalkan puasa.
Sebagai contoh, memasukkan makanan ke dalam mulut lalu ditelannya sehingga masuk ke had batin mulut iaitu dari tempat keluarnya atau makhraj huruf hamzah atau ha hingga ke bawah (kerongkong) adalah membatalkan puasa.
Dalam hal mandi wajib pula, iaitu setelah masuk waktu berpuasa, ketika mandi hendaklah berhati-hati dan memadailah dengan meratakan air ke seluruh badan dan menyampaikannya ke bahagian had yang zahir sahaja.
Sebagai contoh menyampaikan air ke cuping telinga ketika mandi wajib, maka memadailah dengan membasuh bahagian yang zahir sahaja tanpa memasukkan air ke dalam rongga atau lubang telinga (had batin telinga).
Adapun jika air masuk ke dalam had batin rongga, ketika melakukan mandi wajib ataupun mandi sunat adalah dimaafkan, asalkan ia tidak dilakukan dengan sengaja atau tidak dilakukan secara mubalaghah (berlebih-lebihan).
Ini kerana perbuatan berlebih-lebihan itu ketika berpuasa adalah makruh. Jika air masuk disebabkan berlebih-lebihan, maka batal puasa. Begitu juga mandi kerana untuk bersejuk-sejuk ataupun hanya untuk membersihkan diri, jika termasuk air ke dalam rongga adalah membatalkan puasa.
Mandi dengan menyelam di dalam air
Menyelam dalam air ketika berpuasa adalah makruh. Jika air masuk ke dalam rongga anggota tubuh badan yang perlu dijaga, batal puasanya, sekalipun dalam perkara-perkara yang dituntut seperti mandi wajib atau mandi sunat apatah lagi mandi kerana bersejuk-sejuk.
Berwudhu ketika berpuasa
Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu adalah perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika berwudhu walaupun dalam keadaan berpuasa.
Adapun berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan berlebih-lebihan ketika berpuasa adalah makruh.
Berlebih-lebihan yang dimaksudkan ketika berkumur-kumur itu ialah memasukkan air ke seluruh bahagian mulut, iaitu berkumur-kumur (bergelagak) sehingga air sampai ke bahagian langit-langit paling dalam.
Manakala berlebih-lebihan semasa memasukkan air ke lubang hidung itu bererti menyedut air dengan nafas hingga sampai ke pangkal hidung (khaisyum).
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sempurnakanlah wudhu (iaitu dengan menyampaikan air ke seluruh anggota yang wajib dikenakan air wudhu), bukalah celah-celah jari-jemarimu, dan berlebih-lebihanlah (mubalaghah) memasukkan air ke dalam hidung kecuali jika kamu sedang berpuasa.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Hadis ini menjelaskan supaya berlebih-lebihan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu, akan tetapi ia dilarang ketika berpuasa.
Apabila air masuk melewati bahagian had batin mulut atau melebihi pangkal hidung disebabkan berlebih-lebihan ketika berwudhu, adalah membatalkan puasa walaupun perbuatan tersebut dilakukan dalam perkara-perkara yang dituntut agama.
Jika tidak dilakukan secara berlebih-lebihan, maka puasa tidak menjadi batal asalkan perbuatan itu tidak dilakukan dengan sengaja.
Jika air masuk melewati bahagian had batin mulut atau melebihi pangkal hidung pada perkara yang tidak dituntut agama seperti membasuh anggota wudhu melebihi tiga kali (iaitu kali keempat atau lebih) atau semata-mata untuk membasahkan dan menyejukkan mulut, maka puasa menjadi batal, tidak kira sama ada ia dilakukan secara berlebih-lebihan atau sebaliknya.
Bersiwak ketika berpuasa
Mengenai bersiwak, diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.” (Hadis riwayat Muslim)
Perkataan ‘lebih harum’ dalam hadis ini merupakan pujian dan tanda keredaan Allah SWT terhadap orang yang tidak menghilangkan bau mulutnya akibat berpuasa itu. Ini juga membawa maksud bahawa perbuatan membiarkan bau mulut ketika berpuasa itu merupakan satu perkara yang dituntut. Sebaliknya menghapuskannya pula adalah makruh.
As-Sayyid al-Bakri Rahimahullah menyatakan sebab mengapa bersiwak itu makruh setelah masuknya waktu zuhur adalah kerana bau mulut yang terhasil pada waktu itu adalah kesan daripada ibadat puasa yang dikerjakan. Bau mulut yang terjadi sebelum waktu itu pula boleh jadi disebabkan oleh faktor-faktor yang lain seperti kesan makanan atau minuman yang diambil sebelum imsak.
Adapun jika bau mulut itu berubah disebabkan tidur atau termakan sesuatu yang berbau busuk secara tidak sengaja selepas masuk waktu zuhur, menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, makruh bersiwak selepas masuk waktu zuhur sekalipun perubahan bau mulut itu disebabkan tidur atau termakan sesuatu yang berbau busuk secara tidak sengaja.
Atas sebab yang serupa, maka dapat dikiaskan bahawa memberus gigi selepas waktu tergelincirnya matahari juga makruh.
Bagaimanapun, dalam hal ini seorang yang sedang berpuasa mestilah memastikan bahawa air, ubat gigi dan seumpamanya tidak masuk ke bahagian had batin mulut sewaktu memberus gigi kerana jika ini berlaku ia boleh membatalkan puasa.
Air liur yang bercampur dengan sesuatu yang lain sama ada ia suci seperti ubat gigi ataupun najis seperti darah jika ditelannya air liur tersebut maka batal puasanya.
Daripada penjelasan di atas kita hendaklah berwaspada dan berhati-hati apabila mandi, berwudhu ataupun bersiwak dengan memastikan air yang digunakan tidak termasuk ke dalam rongga-rongga yang boleh membatalkan puasa dan tidak melakukannya pada masa-masa yang makruh.
Semoga dengan apa yang telah dihuraikan ini akan menjadi panduan kepada kita agar mencapai kesempurnaan puasa.