Oleh Lenna N.B.
KEBANYAKAN taman-taman permainan dalam bangunan khas untuk kanak-kanak yang sedia ada mempunyai dinding tertutup yang menyebabkannya sukar untuk menjaga dan melihat keberadaan anaknya. Keadaan itu telah menjadikan ramai ibu bapa sentiasa berasa risau dan tidak selamat kerana tidak mampu untuk memerhatikan anaknya dengan sepenuh masa.
Justeru, dengan kerjasama Jessie Pang, pemilik bersama, terbinalah taman permainan Funzania yang dibentuk daripada dinding putih dan tembus, membolehkan ibubapa untuk melihat secara jelas kelakuan anak-anak mereka sepanjang di taman permainan itu.
“Selaku seorang ibu, saya mempunyai kerisauan terhadap keselamatan anak saya. Di Brunei ini memang banyak taman permainan untuk kanak-kanak tetapi saya belum menemui tempat yang boleh membuatkan saya berasa selamat untuk anak saya. Atas keprihatinan itu, saya mempunyai hasrat untuk membuka taman permainan kanak-kanak saya sendiri. Bukan sahaja saya rasa selamat untuk anak saya, tetapi selamat untuk kanak-kanak yang lain,” ucap Ailada Lim, pemilik kerjasama Funzania Brunei.
Taman Funzania
Funzania adalah dipetik daripada perkataan Inggeris ‘Fun’ yang bererti seronok atau menghiburkan. Walaupun kebanyakan taman permainan yang sedia ada lebih khusus kepada kanak-kanak, namun Funzania telah membawa kelainan dengan menjadikannya sebagai lokasi yang menghiburkan untuk kanak-kanak serta mereka yang dewasa.

“Di situlah kami mengilhamkan konsep kafé dan taman permainan kanak-kanak. Ibubapa sambil menunggu anak-anak mereka sedang bermain, mereka boleh menikmati kopi istimewa kami, atau jus yang diperbuat daripada buah-buahan segar, atau pan pizza yang dimasak sendiri oleh cef kami,” jelas Jessie Pang, rakan kerjasama Ailada Lim.
Justeru itu, Funzania bukan sahaja tempat permainan kanak-kanak, tetapi tempat untuk golongan dewasa meluangkan masa bersama rakan-rakan. Walaupun tanpa kanak-kanak, orang ramai dialu-alukan untuk menikmati pelbagai hidangan istimewa Funzania seperti kafé atau restoran-restoran yang lainnya. Bezanya, kafé Funzania diwarnai dengan suasana kanak-kanak bermain, menjadikan lokasi tersebut penuh dengan gelak-ketawa, wajah keceriaan dan kegembiraan.
Hidangan menu Funzania
Terdapat kira-kira lebih daripada 30 jenis hidangan di kafé Funzania yang merangkumi lima hidangan sarapan, empat hidangan salad, tiga jenis roti lapis, lapan pilihan pizza, enam jenis pasta, lima pilihan hidangan kanak-kanak dan sebagainya. Memandangkan Ailada dan Jessie pengamal gaya hidup sihat, setiap hidangan di kafé ini juga lebih kepada bentuk menu pemakanan yang sihat.
“Kami di sini tidak menggunakan bahan-bahan masakan yang telah diproses. Semuanya dibuat daripada asas kerana salah satu peranan kami adalah mempromosikan gaya hidup sihat. Bukan sahaja untuk anak-anak tetapi ibubapa. Oleh itu, kami tidak menyajikan kentang goreng atau sosej di sini.”
Antara yang agak popular di kafé Funzania adalah Café Latte yang mempunyai aroma kopi serta jus asli buah-buahan tanpa campuran gula.
Malah, Funzania juga mempunyai aiskrim ciptaan khas yang tidak mungkin dapat dinikmati di kedai-kedai aiskrim yang lainnya. Begitu juga hidangan kek yang sedia untuk dinikmati dalam kafé atau dibawa pulang.
“Setakat ini, menu-menu makanan lebih kepada hidangan barat. Namun, di perancangan masa akan datang, kami ingin mengetengahkan hidangan-hidangan tempatan kerana permintaan tinggi daripada kebanyakan pelanggan kami,” tambah Ailada.
Aktiviti Kanak-kanak
Di samping taman permainan kanak-kanak dan kafé, Funzania juga telah mengelolakan aktiviti kanak-kanak, antaranya adalah sesi seni kraf, aktiviti memasak, senaman dan sebagainya. Tujuan aktiviti ini bukan sahaja untuk memperkembangkan kebolehan mereka, tetapi sebagai cara untuk ibu bapa meluangkan waktu bersama anak-anak mereka melalui aktiviti tersebut.

“Setiap musim cuti persekolahan kami mengadakan kem percutian atau dalam Bahasa Inggerisnya ‘Holiday Camp’ yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari di mana mereka melakukan pelbagai aktiviti bersama kami. Salah satu aktiviti yang termasuk dalam kem tersebut adalah kesedaran dari segi pengamalan makanan sihat, iaitu memperkenalkan mereka kepada piramid makanan, gaya pemakanan yang sihat dan sebagainya. Kami juga menerima lawatan sekolah dan melakukan aktiviti bersama mereka serta banyak lagi aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, berkonsepkan pendidikan,” terang Jessie.
Setakat ini, sesi aktiviti bersama kanak-kanak dibukakan daripada kanak-kanak yang berusia empat hingga sembilan tahun. Setiap minggu, Funzania sentiasa mempelbagaikan aktiviti khas untuk mereka yang berkonsepkan hiburan, pendidikan, dan kreativiti.
Kepercayaan ibubapa
Taman permainan Funzania sudah beroperasi sejak 12 Februari 2016. Walaupun taman ini kurang diketahui, tetapi telah pun berjaya menarik minat beberapa ibubapa yang menghantar anak mereka setiap minggu.
Bukan sahaja kerana taman permainannya yang memudahkan mereka menjaga keselamatan kanak-kanak, tetapi kafé tempat untuk mereka bersantai dengan cukup selesa.
“Kami telah menerima pelbagai respon yang memberangsangkan daripada ibubapa. Setiap idea mereka yang boleh diterima untuk memperbaiki taman ini akan kami petik untuk perubahan di masa akan datang. Perancangan kami di bulan Ramadan nanti, perubahan dari segi permainan akan dilaksanakan agar ia lebih interaktif sesuai dengan perkembangan teknologi terkini.”
Demi menjaga kanak-kanak daripada terjatuh atau tergelincir sepanjang permainan, Funzania juga telah menjual sarung kaki khas yang mempunyai getah di bawahnya agar ia mencengkam permukaan lantai. Penggunaan sarung kaki tersebut lebih selamat daripada sarung kaki biasa yang mempunyai permukaan lebih licin. Aspek keselamatan adalah perkara yang amat dipentingkan oleh Funzania.
“Paling mengharukan adalah apabila ada keluarga dari Seria sanggup datang ke sini semata-mata untuk menghantar anak mereka bermain, sehinggakan mereka meminta untuk kami membuka cawangan di Seria. Kekuatan kami terletak kepada sokongan ibubapa di luar sana. Tanpa mereka, Funzania tidak mungkin akan berjaya seperti yang dilihat pada hari ini.”
Funzania hanya beroperasi setiap hari Selasa hingga Ahad. Manakala, pada hari Isnin pagi, taman ini ditutup untuk tujuan pembersihan. Salah satu lagi perancangan Funzania adalah untuk mengelolakan aktiviti bagi kanak-kanak yang berusia sembilan tahun ke atas. Walaupun Funzania hanya dikenali untuk kanak-kanak, tetapi mereka yang dewasa juga dialu-alukan untuk menikmati hidangan eksklusif daripada kafé Funzania.