Thursday, January 2, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berhimpun di tanah kubur: Jangan buat spekulasi, serah pada pihak berkuasa

    KUALA LUMPUR, 29 DIS – Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai tindakan sekumpulan individu berhimpun di sebuah pusara dalam kawasan Tanah Perkuburan Islam, Taman Ibukota, Setapak, semalam.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata semua pihak dimohon untuk menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa agama Islam.

    Beliau berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarah menyiasat secara terperinci berhubung perkara berkenaan dan menegaskan pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

    “Pihak yang mempunyai maklumat dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada JAWI bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Semalam, tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik dan kuat di sebuah tanah perkuburan di Danau Kota, Setapak hingga mengundang kebimbangan masyarakat khususnya orang Islam.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kejadian itu yang dipercayai berlaku kira-kira 10:05 pagi semalam sebelum video mengenainya tular pada petang hari yang sama. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda