Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beri bimbingan, motivasi anak kembali ke sekolah

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    Lebih seminggu golongan pelajar sekolah di negara ini meniti sesi persekolahan baharu setelah bercuti selama lebih kurang sebulan. Pastinya para ibu bapa atau penjaga tidak terlepas dari mengharungi berbagai cabaran.

    Salah satu cabaran yang dihadapi ialah masalah bangun pagi dalam kalangan anak dan bermacam-macam karenah yang lumrah dihadapi menjadi asam garam kehidupan
    harian.

    Bagi guru-guru pula, rata-rata mereka sanggup mengorbankan beberapa hari di musim percutian mereka seketika dengan menghiasi bilik darjah sebagai persediaan mengalu-alukan anak-anak didik mereka yang bakal tiba ke sekolah mereka. Malahan guru-guru juga sanggup mengeluarkan perbelanjaan persendirian bagi menghiasi bilik darjah mereka agar dalam keadaan kondusif bagi kepentingan pengajaran dan pembelajaran bersama.

    PENTINGNYA SOKONGAN BERTERUSAN

    Oleh yang demikian, dalam sama-sama membantu anak-anak kembali bersekolah, ibu bapa atau penjaga perlu memainkan peranan dan tanggungjawab dalam memberikan sokongan secara berterusan dengan nilai-nilai positif dalam melewati cabaran mendatang.

    Seperti halnya mengejutkan anak-anak terutama yang masih kecil sebenarnya memerlukan teknik dan taktik yang betul di samping berbekalkan kesabaran yang tebal dalam diri si ibu.

    Suasana kelas murid prasekolah yang memulakan alam persekolahan mereka di Sekolah Rendah Bendahara Sakam, Bunut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Sesetengah pertarungan bagi bangun awal pagi adalah berpunca daripada tidur pada lewat malam. Hadkan penggunaan gajet mahupun televisyen yang boleh melekakan anak-anak sehingga berjaga ke larut malam.

    Lebih dari itu, berikan makan malam lebih awal supaya anak-anak boleh tidur lebih awal. Memakan makanan berat pada lewat malam sebelum waktu tidur boleh mengganggu pola tidur anak-anak dan menjadi punca mereka susah bangun awal di pagi hari.

    Sebagai umat Islam, sebelum tidur, pesanlah kepada anak-anak bagi sentiasa membaca doa sebelum tidur berserta Surah Al-Muawwizat (3 Qul). Begitu juga, sebagai ibu bapa atau penjaga mestilah menyemai diri bagi mencurahkan kata-kata motivasi sebelum tidur kepada anak-anak. Misalnya memberikan dorongan dengan menjelaskan bahawa guru-guru dan kawan-kawan kelas mereka pasti tertunggu-tunggu kehadiran mereka di sekolah pada keesokan harinya malah, guru-guru juga suka murid yang datang awal pagi ke kelas.

    UTAMAKAN SARAPAN YANG SIHAT

    Satu perkara lagi yang perlu diperhatikan oleh para ibu bapa atau penjaga sebelum anak-anak pergi ke sekolah ialah menyediakan sarapan pagi dengan makanan yang berzat.

    Dengan mengamalkan sarapan pagi yang teratur secara tidak langsung dapat meningkatkan tumpuan anak-anak ketika mengikuti pembelajaran sekali gus mengelakkan mereka daripada masalah seperti mengantuk, sakit perut dan lesu.

    Dengan kata lain, bagi anak-anak yang sering melewatkan ataupun langsung tidak mengambil sarapan pagi boleh mempengaruhi keadaan fizik dan psikologi diri yang mana hasilnya akan mengganggu pencapaian akademik mereka. Oleh itu, menyediakan anak-anak dengan sarapan yang sihat adalah termasuk sebagai salah satu tugas penting ibu bapa dan penjaga.

    LUANGKAN MASA BERSAMA SEBAIKNYA

    Dalam pada itu, ketegasan ibu bapa atau penjaga juga diperlukan dalam memastikan anak-anak mereka membuat kerja sekolah atau tugasan yang diberikan semasa berada di rumah.

    Seharusnya, golongan ibu bapa atau penjaga bijak dalam menjayakan peranan masing-masing terutama menjadi contoh yang baik kepada anak-anak seperti menzahirkan sifat suka membaca buku agar mereka dapat mengikut sikap yang diamalkan itu.

    Lebih menarik lagi, apabila aktiviti berfaedah yang dilakukan oleh ibu bapa itu juga turut berjaya menarik minat anak-anak bagi menyertai pelbagai aktiviti berfaedah seperti membuat kerja sekolah atau mengulang kaji pelajaran.

    Begitu juga perlu dielakkan daripada terlalu kerap menonton televisyen atau bermain permainan video kerana ia secara tidak langsung akan menarik minat mereka melakukan aktiviti kurang berfaedah.

    Oleh yang demikian, ibu bapa atau penjaga perlu menyemai dalam diri bagi sentiasa memantau segala tindak-tanduk anak-anak demi sama-sama membantu perkembangan anak, dengan mengimbangi antara waktu belajar dan juga waktu lapang sebaik-baiknya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda