Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Guru-guru muda daripada pelbagai jurusan pendidikan dan ilmu serta kemahiran hendaklah ditarik dan digalakkan menjadi ahli Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB).
Seterusnya mereka akan didorongkan dan diberi laluan tampil dengan ketara untuk dirasakan keberadaan mereka bergerak sama memimpin PGGMB.
Seruan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dalam ucapannya di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei ke-75, 2024-2025 yang berlangsung di Sekolah PGGMB Sungai Akar, hari ini.
Beliau menyatakan bahawa mereka mempunyai nafas yang lebih bernafas lanjar, meneruskan dan menyambung nafas yang sedia ada dengan lebih berstamina panjang.
“Anggap dan terimalah mereka itu seolah-olah nafas baru yang berstamina kepada kelangsungan yang berkesan PGGMB sebagai pertubuhan sosial-perguruan,” ujar beliau.




Yang Berhormat Pehin menekankan PGGMB perlu terus memastikan keberadaannya yang positif sebagai pertubuhan sosial perguruan dalam arus perdana pembangunan negara kini serta dalam masa yang panjang, melimpasi jangka waktu Brunei sampai ke garis mencapai matlamat Wawasan 2035.
Beliau juga menyeru pihak PGGMB untuk memberikan pendedahan kepada guru-guru muda mengenai persekutuan berkenaan sebagai sebuah pertubuhan sosial keguruan yang boleh menampung mereka bergiat dalam bidang kebajikan sosial.
Terdahulu, Yang Dipertua PGGMB, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa PGGMB akan berusia 100 tahun pada 2039 dan dalam hubungan itu, sangat elok pentadbiran PGGMB perlu menyediakan pelan strategik, visi dan misi yang jelas dalam hal ekonomi, kebajikan, pelajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah PGGMB.
“Oleh itu, semua ahli perlu bekerjasama dalam menjayakan segala perancangan dan aktiviti yang berdaya saing bagi memperkasakan peranan PGGMB kelak.”
Majlis menyaksikan penyampaian Anugerah Ahli Tertua PGGMB 2025 sempena memperingati ulang tahun penubuhan PGGMB ke-86, 2025 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin di mana tiga orang ahli lama dalam PGGMB menerima Anugerah Ahli Tertua PGGMB 2025 untuk mengenang jasa mereka yang banyak menyumbang kepada kemajuan PGGMB dalam berbagai bidang seperti kepimpinan, kebajikan, kemesyarakatan dan perekonomian.
Di samping itu, mereka masih menganggotai keahlian dalam PGGMB hingga sekarang dengan penerima-penerima anugerah berkenaan ialah Pengiran Haji Mohd Yasin bin Pengiran Metasan berusia 90 tahun, Dato Paduka Haji Mohd Suni bin Haji Idris berusia 90 tahun dan Pengiran Haji Mohd Yassin bin Pengiran Damit berusia 89 tahun.
Yang Berhormat Pehin seterusnya diberi penghormatan untuk menyampaikan sijil penghargaan kepada mantan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB yang menamatkan tempoh perkhidmatan Sesi 2022-2025.
Mereka ialah mantan Yang Dipertua PGGMB, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman; mantan Timbalan Yang Dipertua PGGMB, Haji Badar bin Haji Mohd Ali; dan mantan Pengerusi Tetap, Haji Jamal bin Haji Kahar.
Acara diteruskan dengan penyampaian sijil dan hadiah pelajar cemerlang kepada 15 orang pelajar daripada sekolah-sekolah PGGMB yang memperolehi 5A dalam Peperiksaan PSR 2024.
Majlis berkenaan dihadiri oleh seramai kira-kira 350 orang yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan tadbir PGGMB, jemputan-jemputan khas, ahli-ahli perwakilan mesyuarat, guru-guru dan ibu bapa murid-murid.
Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB Ke-75 diakhiri dengan pengumuman keputusan pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB baharu untuk sesi perkhidmatan 2025-2028.

