Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beri kerjasama pegawai kumpul maklumat untuk dua kajian

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mula menjalankan Kajian Tenaga Kerja (KTK) tahunan.

    Kajian ini dilakukan bersama Kaji Selidik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi Isi Rumah dan Individu 2024 (Kaji Selidik ICT 2024) dengan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) bermula 14 Oktober hingga 10 November.

    Ia bertujuan untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur, taburan dan ciri-ciri tenaga kerja, pekerjaan, pengangguran dan ciri-ciri ekonomi yang lain bagi penduduk yang akan digunakan dalam membantu perancangan, penyelidikan dan penyediaan dasar tenaga kerja.

    Manakala, objektif Kaji Selidik ICT 2024 adalah untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai akses dan penggunaan ICT serta kemahiran digital dalam kalangan isi rumah dan penduduk di Negara Brunei Darussalam, yang akan digunakan untuk penyediaan dasar dan inisiatif berkaitan pertumbuhan sektor ICT bagi mendukung perkembangan ekonomi negara.

    Sementara itu, Majlis Upacara Angkat Sumpah bagi 76 orang pegawai kajian yang dilantik oleh JPES dan 76 orang pegawai kajian daripada pihak AITI telah diadakan pada 30 September dan disaksikan oleh Pemangku Ketua Pengarah JPES, Awang Hairol Nizam bin Haji Abdul Hamid dan Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar.

    Awang Hairol Nizam semasa menyampaikan ucapan alu-aluan. – GAMBAR SERAHAN JPES
    Antara pegawai yang dilantik bagi menjalankan kajian berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR SERAHAN JPES

    Dalam ucapan alu-aluan, Awang Hairol Nizam menekankan komitmen pegawai kajian yang dilantik untuk menjaga kerahsiaan maklumat serta memastikan semua maklumat yang diperoleh tidak akan didedahkan kepada pihak yang tidak berkaitan.

    JPES telah memberikan latihan kepada pegawai kajian mengenai teknik menemu duga dan etika tingkah laku semasa berjumpa dengan isi rumah dalam meningkatkan keberkesanan kemahiran berkomunikasi bagi memastikan data yang dikumpulkan adalah tepat dan berkualiti.

    Kira-kira 3,200 buah isi rumah terpilih di seluruh negara akan terlibat dengan kedua-dua kajian ini, yang mana pegawai kajian akan menemu duga isi rumah secara bersemuka dengan menggunakan tablet untuk mendapatkan data dengan mudah dan efisien.

    Hasil kedua-dua kajian ini akan memberikan gambaran corak dan isu-isu tenaga kerja termasuk trend pekerjaan terkini.

    Manakala, Kaji Selidik ICT 2024 akan membantu dalam memahami perubahan corak dan trend dalam penggunaan teknologi dan perkembangan ekonomi digital di negara ini.

    Pengumpulan data daripada kedua-dua kajian ini akan dijadikan sebagai penanda aras yang penting bagi memantau kemajuan negara dalam merealisasikan matlamat-matlamat di dalam Wawasan Brunei 2035 dan matlamat-matlamat pembangunan mampan (SDG).

    Bagi memastikan proses temu duga berjalan dengan selamat dan lancar, isi rumah yang terpilih adalah dinasihatkan untuk mengesahkan identiti pegawai kajian dengan membuat pemeriksaan pas kajian, surat lantikan, kad pengenalan dan ves rasmi yang dipakai.

    Sementara itu, isi rumah yang mempunyai haiwan peliharaan, terutamanya anjing, adalah disarankan untuk menempatkan haiwan peliharaan di tempat yang bersesuaian bagi tujuan keselamatan pegawai kajian semasa melaksanakan lawatan.

    Kajian ini dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 daripada Undang-undang Negara Brunei Darussalam.

    JPES ingin memberikan jaminan kepada semua isi rumah terpilih dalam kajian ini bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

    Menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu adalah menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak $4,000.

    Sehubungan itu, sokongan dan kerjasama semua isi rumah terpilih semasa kajian dijalankan adalah sa-ngat diharapkan dan amat dihargai bagi sama-sama menjayakan kajian ini.

    Bagi sebarang pertanyaan mengenai KTK 2024 atau Kaji Selidik ICT 2024, orang ramai boleh menghubungi talian 7469844 atau melalui e-mel info.statistics@jpes.gov.bn atau laman sesawang di deps.mofe.gov.bn.

    Manakala bagi talian Kaji Selidik ICT 2024, orang ramai boleh berhubung di talian 8212332, melalui e-mel ictsurvey@aiti.gov.bn atau laman sesawang di aiti.gov.bn/ictsurvey2024.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda