Gambar serahan PDI
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Dalam usaha memberikan kesedaran tentang pegangan akidah yang betul, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Penyebaran Dakwah telah mengadakan Program Qalbun Salim yang berlangsung selama tiga hari pada 24 hingga 26 Januari lalu di Dewan Serbaguna PDI.
Menurut kenyataan yang diberikan PDI, program yang disertai oleh 20 orang murid Darjah 6 dari beberapa buah sekolah agama itu diadakan untuk memberi kesedaran dalam menghayati dan mengamalkan ibadat dengan sempurna menurut ajaran Islam dan untuk memberikan pendedahan kepada mengenai kepentingan akhlak Islam yang terpuji.
Para peserta program yang terdiri daripada lapan orang peserta lelaki dan 12 peserta perempuan adalah murid-murid dari Sekolah Ugama Pelambayan, Sekolah Ugama Raja Isteri Fatimah, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Besar, Sekolah Ugama Orang Kaya Besar Imas, Sekolah Ugama Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Majeedah Nuurul Bolkiah, Sekolah Ugama Sayyidina Hussain dan Sekolah Ugama Beribi Telanai.
Hadir sama ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh yang juga menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta-peserta program. Program bermula dengan sesi suai kenal para peserta dan diikuti dengan sembahyang fardu Zuhur dan Asar berjemaah. Antara tajuk-tajuk kursus yang diajarkan di sepanjang program termasuk Akidah, Thaharah (praktikal wuduk dan tayamum), Tasmik dan Tahsin Solat, Akhlak, Perisai Diri, Dare to Change dan Uja Hatiku yang disampaikan oleh tenaga pembimbing terdiri daripada para pegawai dan kakitangan Bahagian Penyebaran Dakwah, PDI.