Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Seramai 89 orang peserta terdiri daripada bakal pesara dan pelajar sekolah menyertai taklimat kesedaran jenayah siber yang diadakan dalam dua program berasingan, baru-baru ini.
Taklimat tersebut dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Pada 4 November, BSJS telah dijemput untuk menyampaikan taklimat mengenai penipuan dalam talian semasa Program Persediaan Persaraan di Institut Perkhidmatan Awam (IPA), yang dihadiri oleh 39 orang peserta yang bakal bersara.
Taklimat tersebut bertujuan memberikan pendedahan tentang taktik-taktik penipuan yang sering dilakukan melalui platform media sosial, serta menekankan kepentingan untuk tidak berkongsi maklumat peribadi dan kewangan kepada pihak yang tidak dikenali.
Sementara itu, pada 5 November, BSJS dengan kerjasama Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak (USJPWK) telah mengadakan taklimat kesedaran jenayah siber dan buli kepada 50 orang pelajar Tahun 6 di Sekolah Rendah Chung Ching Seria, Kuala Belait.


Sesi tersebut bertujuan membimbing generasi muda agar lebih peka dan berhati-hati ketika menggunakan Internet, selain memberi pengetahuan tentang langkah-langkah asas keselamatan digital.
Pelajar turut diberi pendedahan mengenai isu buli dan buli siber, termasuk kesannya terhadap mangsa serta cara untuk mendapatkan bantuan atau melaporkan kejadian buli.
Turut hadir bagi menyokong usaha pendidikan keselamatan siber dan pencegahan buli dalam kalangan pelajar ialah pengetua sekolah, Chin Chiew Eng.
PPDB menyeru masyarakat termasuk individu dewasa, pelajar sekolah dan warga yang bakal bersara agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ketika berurusan secara dalam talian.
Pihak sekolah, jabatan kerajaan dan badan-badan komuniti juga digalakkan untuk terus menganjurkan program pendidikan keselamatan siber bagi memperkukuh pengetahuan serta kesedaran bersama.
Melalui usaha berterusan ini, PPDB kekal komited untuk membimbing dan melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan serta ancaman siber yang semakin berkembang, selaras dengan peranan bersama dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

