Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Kampung Katok pagi tadi mengungkayahkan Program Ilal Majdi Wal ‘Ula bertemakan Program Simulasi Manasik Haji bertempat di sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu khas ialah Ketua Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin.
Menurut pemangku Pengetua SUAMPRIPAHS, Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Mohd Zinin, program tersebut diadakan antara lain bertujuan untuk membantu para pelajar memahami tajuk haji dengan lebih mendalam dengan mengalami sendiri perjalanan manasik haji secara praktikal, mengulang kaji dan meneguhkan lagi pemahaman mereka dalam tajuk haji melalui soalan-soalan yang disediakan dan menghalusi serta menghayati lagi bacaan-bacaan dalam ibadah haji.
Beliau berharap dengan adanya program ini akan dapat meningkatkan prestasi para pelajar mencapai keputusan yang cemerlang melalui penerapan info komunikasi dan teknologi dan blended learning‘pada beberapa checkpoint sebagai kaedah pembelajaran terkini. Pada masa yang sama, program ini juga akan mewujudkan kerjasama dan mengeratkan silaturahim antara tholibaat sekolah-sekolah Arab.
Program Simulasi Manasik Haji pada kali ini melibatkan tholibaat dari Sanah 10 Fast Track dan 11 sahaja dan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori A yang melibatkan wakil tholibaat dari SUAMPRIPAHS, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Mahad Islam Brunei manakala Kategori B pula akan dibukakan kepada para pelajar dari SUAMPRIPAHS sahaja.
Melalui program praktikal simulasi haji ini, setiap pengisian ibadah haji akan dijadikan checkpoint dan pada setiap checkpoint, tholibaat dikehendaki menjawab pelbagai soalan syafawi (secara lisan) dan digital, serta tugasan praktikal yang wajib mereka laksanakan.
Beliau juga berkata ibadat haji merupakan salah satu Rukun Islam yang kelima yang wajib ditunaikan oleh semua orang Islam yang berkemampuan.
Oleh yang demikian, selain menjadikan program ini sebagai suatu pengukuhan dalam pembelajaran para tholibaat, beliau berharap para tholibaat juga akan menjadikan program ini sebagai gambaran atau pengalaman awal menjalani praktikal haji sebagaimana lazimnya dilaksanakan oleh jemaah haji Negara Brunei Darussalam.
Aktiviti program turut disertai oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Mahad Islam Brunei; dan SUAMPRIPAHS selaku tuan rumah.
Selain itu, bagi memeriahkan program, telah diadakan salah satu pertandingan di mana pertandingan berkenaan dimenangi oleh pasukan SUAMPRIPAHS.