Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beri salam sebelum masuk rumah, rumah mendapat berkat

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    MEMBERI salam atau mengucapkan salam (Assalaamu‘alaikum) kepada seseorang Islam yang lain adalah perkara yang disunatkan oleh hukum syara‘. Bahkan memberi salam itu diletakkan dan diperuntukkan sebagai hak seorang Islam kepada seorang Islam yang lain.

    Maka orang yang tidak mahu mengucapkan salam boleh dianggap sebagai orang yang tidak menunaikan hak tersebut.

    Di antara masa yang disarankan untuk mengucapkan salam ialah ketika hendak masuk rumah, bukan sahaja ketika hendak masuk ke rumah orang lain bahkan juga ketika hendak masuk ke rumah sendiri. Perkara ini disebutkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah-rumah (ini) hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang bererti memberi salam) kepada dirimu sendiri, salam yang ditetapkan dari sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik.” (Surah an-Nur, ayat 61)

    Menurut asy-Syeikh Nashr bin Muhammad bin Ibrahim as-Samarqandi di dalam kitabnya Bustaan al-‘Aarifeen, tuntutan memberi salam menerusi ayat di atas adalah merangkumi dua keadaan, iaitu sama ada memberi salam ke atas ahli keluarga yang tinggal di rumah berkenaan jika mereka ada di rumah pada ketika itu, ataupun memberi salam ke atas dirinya sendiri jika tidak ada orang di dalam rumah.

    Menurut ulama ahli tafsir, maksud “Tahiyyatan” di dalam ayat al-Qur’an di atas ialah ucapan salam yang diperintahkan dan disyariatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Sementara maksud “Mubarakatan Toyyibatan” pula ialah dengan ucapan salam itu diharapkan akan bertambah kebajikan serta pahala, dan dengan ucapan salam itu juga akan menyejukkan dan menyenangkan hati orang yang mendengar ucapan salam itu.

    Bagaimana caranya memberi salam ke atas diri sendiri?

    Caranya ialah dengan mengucapkan ayat ini yang membawa maksud: “Sejahteralah ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang salih”.

    Amalan memberi salam ini walaupun zahirnya semacam perkara kecil saja tetapi faedahnya atau fadilatnya adalah besar dan hebat. Apakah fadilat atau kelebihan memberi salam itu?

    Terdapat beberapa jumlah dalil-dalil syara‘ yang menerangkan akan kelebihan memberi salam, sama ada dalil yang menerangkan kelebihannya secara umum iaitu kelebihan memberi salam tanpa mengira masa-masa tertentu ataupun kelebihannya ketika hendak masuk rumah.

    Dalil-dalil yang menyebutkan tentang kelebihan memberi salam secara umum itu di antaranya ialah sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya, “Kamu ucapkanlah salam nescaya kamu selamat (sejahtera).” (Hadis riwayat Ibnu Hibban di dalam kitab Shahihnya)

    Di dalam hadis yang lain Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Wahai manusia! Kamu ucapkanlah salam, berilah makan dan dirikanlah sembahyang pada waktu malam sedang manusia ketika itu sedang tidur nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

    Di dalam hadis yang lain lagi Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya. “Sesungguhnya di antara perkara yang boleh menyebabkan mendapat keampunan (Allah Ta‘ala) ialah: memberi salam dan baik percakapan.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

    Sementara itu, dalil-dalil yang menyebutkan secara khusus tentang kelebihan memberi salam sebelum masuk rumah di antaranya sebagaimana sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya, “Tiga golongan yang kesemua mereka itu dijamin oleh Allah, jika dia hidup diberi kecukupan dan jika dia mati masuk syurga, iaitu: Sesiapa yang masuk rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin oleh Allah ‘Azza wa Jalla, sesiapa yang keluar pergi ke masjid, maka dia dijamin oleh Allah dan sesiapa yang keluar untuk pergi berjihad di jalan Allah, maka dia dijamin oleh Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad)

    Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda kepadaku yang maksudnya, “Wahai anakku! Apabila engkau masuk (ke rumah) ahli keluargamu berilah salam nescaya akan mendatangkan keberkatan ke atasmu dan ahli keluarga rumahmu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

    Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya, “As-Salaam itu adalah nama daripada nama-nama Allah Ta‘ala yang diletakkanNya di bumi, maka sebarkanlah nama Allah itu di antara kamu.” (Hadis riwayat al-Bazzar dan ath-Thabarani)

    Berdasarkan hadis ini, as-Salaam itu adalah di antara nama-nama Allah yang Maha Suci dan kita disuruh untuk menyebarkannya dengan menyebut-nyebutnya. Bertolak daripada petunjuk hadits ini, maknanya memberi salam itu juga boleh disifatkan sebagai mengingati Allah.

    Apabila kita merujuk kepada kelebihan menyebut nama Allah sebelum masuk rumah, disebutkan bahawa rumah tersebut akan terhindar daripada syaitan.

    Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu, beliau mendengar Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Apabila seseorang masuk ke rumahnya lalu dia mengingati Allah ‘Azza wa Jalla ketika dia masuk rumah dan ketika makan, syaitan berkata (kepada suku-sakatnya): “Tidak ada tempat bermalam dan makan malam bagi kamu”.

    “Dan jika dia masuk tanpa mengingati Allah ketika dia masuk, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat untuk bermalam”. Jika dia tidak mengingati Allah ketika dia makan, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat bermalam dan makan malam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad dan Muslim)

    Berdasarkan beberapa hadis yang disebutkan tadi, nyatalah kepada kita akan kehebatan fadilat memberi salam khususnya memberi salam sebelum masuk rumah. Dengan ucapan salam, rumahtangga akan diliputi keberkatan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, diberi kecukupan dan terhindar dari gangguan syaitan. Bila rumah mendapat berkat maka penghuninya akan hidup dalam keadaan tenang, tenteram dan rukun damai.

    Selain diri kita manusia yang boleh dilihat dengan pandangan mata kasar ini, di dalam rumah kita kadang-kadang terdapat penghuni lain terdiri daripada makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Dengan ucapan salam kadang-kadang terbukti mereka yang memusuhi kita boleh menjadi baik dan tidak mengganggu kita.

    Inilah sebahagian daripada adab dan sopan santun dalam Islam yang wajar dijadikan amalan seharian dalam hidup kita.

    Adab dan sopan santun ini bukanlah terbit daripada hasil pemikiran, tetapi adalah berpandukan dan bersandarkan kepada wahyu Ilahi untuk membimbing kebahagiaan dan keharmonian hidup bermasyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda