Bergelar penyampai berita dan mengendalikan program hiburan nyata memberi pengalaman berbeza buat pengacara jelita, Hawa Rizwana, 27.
Berkongsi pengalamannya, Hawa atau nama sebenarnya, Hawa Rizwana Ahmad Rezuan berkata, senario di bilik berita dan dunia hiburan jauh berbeza, biarpun konsep masih sama iaitu bermonolog di hadapan kamera.
Sejak bergelar penyampai Berita TV9, sebelum berpindah ke Buletin Utama di TV3 sehingga pertengahan tahun ini, gadis kelahiran Illinois, Amerika Syarikat (AS) itu mula dikenali ramai.
Memiliki rupa paras seiras dengan selebriti dan usahawan popular, Neelofa menjadi kelebihan buat Hawa untuk lebih dikenali.
Namun, sejak beralih tugas mengemudi program hiburan, MeleTOP, awal bulan lalu, nama Hawa kerap terpalit dengan kecaman terutama membabitkan imej dan penyampaiannya yang dianggap tidak mencapai standard.

Gaya penyampaiannya itu juga sering dibandingkan dengan Neelofa yang berjaya menambat hati penonton tahun demi tahun.
Jauh di sudut hati, Hawa berharap penonton dapat memberi sedikit masa untuk mendapat keserasian dengan tugasan dan dunia baharu yang diceburinya itu.
Bekas pengacara program bual bicara, Wanita Hari Ini dan Hello Doktor di TV3 itu berkata, setiap teguran akan diterima secara positif demi berusaha menjadi lebih baik.
“Orang ramai perlu faham saya bermula sebagai pembaca berita, mengacarakan program berbentuk isu semasa dan program kewanitaan.
“Lima tahun saya dalam dunia berita, hanya baru-baru ini diberi peluang mengacarakan program hiburan. Jadi, saya masih baharu dalam dan perlu belajar banyak perkara.
“Saya juga masih dalam fasa membiasakan diri dengan suasana baharu. Ia tentunya mengambil masa untuk belajar, selain mencari pengalaman,” katanya kepada BH Online. – Agensi