Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Majlis Kesatuan Pelajar Brunei (BSU) di United Kingdom dan Eire dengan kerjasama Persatuan Pelajar Pegawai Agama Brunei (BruROSA) kelmarin telah mengadakan Program Outreach Tour 2018 dengan tema ‘Encompassing Your Future: Ignite the Fire Within’ yang berlangsung di Pusat Pembelajaran Pelajar, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong.
Program tersebut diisikan dengan sesi Ice Breaking dan diteruskan dengan beberapa ucapan daripada pelajar-pelajar UK dalam memberikan sokongan dan dorongan serta galakan bagi para pelajar Peringkat ‘A’ untuk memilih kerjaya mereka sendiri serta bekerja keras bagi mencapai impian mereka.
Program yang disertai oleh para pelajar tingkatan enam bawah itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengetua Akademik Maktab Duli, Dr Zamri bin Ismail dan juga ucapan daripada Presiden BSU, Awangku Mohammad Hisyam Al-Yura bin Pengiran Haji Zainal Abidin.
Antara yang menyampaikan ucapan ialah Naib Presiden Pentadbiran dan Kewangan BSU, Dayang Shaimaa’an Nabielah binti Abdul Rahman; Setiausaha Maklumat BSU, Awang Ajrul Mail; Presiden BruROSA, Awang Muhammad Aqil bin Awang dan juga Setiausaha Agung BruROSA Awang Abdul Hakim Shukrin.

Menurut kenyataan yang diberikan, program ini bertujuan memberikan motivasi kepada para pelajar agar sentiasa berusaha untuk membina jalan kerjaya untuk masa depan sama ada melibatkan pendidikan tinggi atau alternatif lain sambil mengekalkan kesihatan mental dan fizikal yang baik.
Program tersebut juga diserikan lagi dengan pelbagai aktiviti permainan bagi meningkatkan lagi sifat kepimpinan dan sifat kerja berpasukan di kalangan para pelajar-pelajar.
Program seumpama ini juga akan diteruskan pada Sabtu depan di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong.