Wednesday, April 16, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beri sokongan untuk wanita berjaya dalam sukan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Sukan memainkan peranan yang kuat dalam memperkasa individu, memupuk kepimpinan dan membina komuniti yang lebih kukuh.

    Oleh itu, Seminar Kesaksamaan Jantina Majlis Olimpik Asia (OCA) ke-2 yang membawa tema, Watch Her Shine, bukan hanya untuk meraikan atlet wanita tetapi ia merupakan seruan untuk memacu perubahan yang nyata.

    Seruan itu dibuat dalam sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Ahli Eksekutif Kehormat OCA dan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) pada Majlis Perasmian Seminar Kesaksamaan Jantina OCA ke-2, Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

    “Kita harus memastikan wanita mempunyai sokongan dan peluang untuk berjaya dalam sukan,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara bersabda majlis olimpik kebangsaan (NOC) boleh memainkan peranan penting dengan memanfaatkan dana OCA/OS untuk mempromosi penyertaan wanita di semua peringkat sukan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara bersabda BDNOC melancarkan Pelan Strategik Wanita Dalam Sukan di mana inisiatif itu mencerminkan langkah signifikan ke arah usaha BDNOC untuk mempromosikan keterangkuman dan selaras dengan matlamat yag diterokai dalam seminar berkenaan.

    Semasa seminar selama dua hari itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara menyeru supaya para peserta menumpukan kepada hasil yang dapat dilaksanakan termasuk membina kerjasama, membangunkan inisiatif serta menetapkan pentas bagi sebuah masa depan di mana kesaksamaan jantina adalah norma.

    “Mari kita pastikan atlet wanita berpeluang untuk menyinar mengikut terma mereka dan mencipta laluan untuk peranan kepimpinan dalam sukan melangkaui persaingan,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah mengurniakan sabda semasa Seminar Kesaksamaan Jantina Majlis Olimpik Asia (OCA) ke-2, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda