Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Beriadah ikut kesesuaian agar tidak mudaratkan diri’

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Bersukan atau beriadah di bulan Ramadan perlu dijalankan mengikut kesesuaian agar ia tidak memudaratkan diri, apa lagi melakukan aktiviti bersukan pada waktu pagi atau petang. Jenis sukan atau riadah yang sangat dianjurkan semasa berpuasa adalah riadah ringan seperti berjalan kaki dan berkayuh basikal secara santai.

    Perkara ini adalah antara isi kandungan tazkirah bertajuk Riadah Dan Permakanan Sewaktu Berpuasa Di Bulan Ramadhan yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Kesihatan, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Awang Waajidun Ni’am bin Haji Dollah,  sempena program Masjidku Makmur, Negara Berkat yang diadakan di MasjidOmar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan awal pagi tadi.

    Awang Waajidun Ni’am semasa menyampaikan ceramah berkenaan.

    “Antara waktu yang sesuai untuk beriadah adalah selepas menunaikan sembahyang Subuh dan sembahyang Sunat Tarawih dan Witir. Beriadah meningkatkan tenaga dan stamina, membantu penghadaman dan metabolisme, mengurangkan tekanan dan boleh mengekalkan berat badan yang sihat.

    “Disarankan juga untuk meminum air secukupnya semasa sahur dan berbuka untuk mengelakkan dehidrasi, mengambil makanan kaya protein dan serat untuk tenaga berpanjangan selain menjauhi minuman berkafein yang boleh menyebabkan kehilangan air berlebihan di dalam badan,” tambah beliau.

    Program berkenaan diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak orang ramai bersama-sama hadir bagi memakmurkan masjid secara istiqamah dalam menunaikan sembahyang Subuh secara berjemaah di awal waktu selain merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid -wirid selepas sembahyang, sebelum mereka memulakan langkah dengan keceriaan untuk aktiviti beriadah di hujung minggu.

    Turut serta bagi memakmurkan masjid awal pagi tadi adalah pegawai-pegawai di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama serta ahli jemaah masjid.

    Antara yang hadir semasa ceramah berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda