Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 DIS – Sesekali berhenti sejenak daripada rutin harian dengan memanfaatkan masa terluang berada di pantai yang merupakan salah satu alam semula jadi yang terindah ciptaan Illahi, mampu mewujudkan rasa ketenangan.
Lebih menyeronokkan lagi sambil menikmati indahnya suasana pantai dengan tiupan angin, aktiviti barbeku, juga menjadi salah satu kelaziman yang dilakukan oleh sebahagian para pencinta santai bersama ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai lebih-lebih lagi di musim cuti persekolahan hujung tahun yang hampir melabuhkan tirainya lebih kurang seminggu sahaja lagi.
Jika dahulu trend percutian di hotel menjadi pilihan, kini percutian secara perkhemahan semakin menjadi kegemaran ramai, bertemankan suasana damai alam semula jadi. Apatah lagi ditambah dengan bunyi gemersik ombak dan buih-buih memutih yang kelihatan berapungan setiap kali arus ombak menghempas dan membasahi tepian pantai. Begitu juga sentuhan angin bayu yang membelai jiwa semakin dinikmati sehingga menjadikan bagi sesetengah orang, aktiviti perkhemahan di tepi sungai sebagai terapi diri yang amat memberi ketenangan.
Oleh yang demikian, dalam kita menikmati pemandangan lautan biru yang cantik mempesonakan itu, satu hal yang perlu disemai dalam diri masing-masing ialah sikap menjaga kebersihan alam sekitar.
Baru-baru ini, Media Permata berkesempatan menemui salah seorang pengunjung di Pantai Persiaran Pengkalan Pinang, Kampung Penanjong, Daerah Tutong yang pada ketika itu bersama suami dan anak-anaknya antaranya berkongsi pandangan di saat beriadah bersama anak-anak dirinya sering mengingatkan mereka untuk menjaga kebersihan dengan membuang sampah bekas makanan dan minuman di tempat yang dikhasnya sebelum meneruskan perjalanan balik.
“Bukan hanya kepuasan riadah yang diperoleh, namun kita juga mestilah sentiasa menyemai budaya pembersih di mana-mana kita berada. Janganlah membuang sampah merata-rata. Begitu juga kemudahan-kemudahan awam perlu digunakan sebaik-baiknya. Semua itu menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama memelihara kelestarian alam semula jadi,” tekannya.
Hakikatnya, pantai adalah kawasan yang sensitif dan mudah terdedah kepada pelbagai ancaman seperti hakisan pantai dan pencemaran yang boleh mempunyai impak terhadap kesejahteraan kehidupan manusia, alam sekitar dan ekosistem.
Oleh yang demikian, menjaga kebersihan sesuatu kawasan tersebut menjadi tanggungjawab semua demi menjaga kesihatan, keselamatan dan keselesaan bersama.
Apa yang perlu kita ketahui bersama sebagai peringatan adalah setiap tahun bertan-tan sampah ada di laut akibat pembuangan sampah sembarangan, terutamanya sisa plastik.
Plastik sangat berbahaya kepada hidupan marin sehingga membawa kepada kematian hidupan marin seperti penyu, anjing laut, ikan paus dan ikan di lautan termasuklah burung-burung yang mencari sumber makanan.