Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Bagi memberigakan kepentingan Skim Takaful Pelajar, Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd telah dijemput untuk menyampaikan taklimat mengenai skim tersebut di Pusat Tingkatan Enam Tutong, hari ini.
Semasa taklimat itu, Awang Halidanhalidi bin Bundan menyentuh mengenai manfaat Skim Takaful Pelajar kepada peserta skim kerana ia merupakan sesuatu yang komprehensif, harga terjangkau mengikut bajet masing-masing dan direka khas untuk memberi perlindungan dan manfaat kepada pelajar.
Sementara itu, skim tersebut menyediakan manfaat takaful seperti kematian dan cacat anggota secara kekal akibat kemalangan, pampasan pengebumian dan elaun bertahan di wad akibat kemalangan. Dalam pada itu juga, skim ini memberi perlindungan perbelanjaan pembedahan dan perubatan akibat kemalangan dan kecederaan.

Di samping itu, skim ini juga memberikan elaun pendidikan jika salah seorang ibu bapa atau penjaga orang yang dilindungi skim itu mengalami kemalangan yang mengakibatkan kematian atau kehilangan anggota badan dan hilang atau kerosakan buku teks akibat kemalangan jalan raya atau kebakaran rumah.
Dengan sumbangan takaful tahunan pada harga yang telah ditetapkan, para pelajar akan menikmati perlindungan takaful yang komprehensif dan sudah pasti jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, mereka akan dilindungi oleh Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd.