Friday, March 14, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beriga kesedaran keselamatan jalan raya

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 30 NOV – Bersempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Nahas Jalan Raya Sedunia, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) telah mengadakan Jerayawara Keselamatan Jalan Raya di Makmal Tenaga Seria, hari ini.

    Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan perubahan tingkah laku dalam keselamatan jalan raya bagi pemandu, penunggang motosikal dan pejalan kaki.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha yang juga selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).

    Ketua Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) dan Sekuriti BSP, Haji Osmera bin Haji Othman dalam ucapan alu-aluannya berkata, keselamatan jalan raya adalah bahagian penting dalam budaya keselamatan yang terus diterapkan dalam Syarikat-syarikat Usaha Sama Brunei Shell (BSJV) dan rakan-rakan niaga mereka.

    Dalam ucapannya itu, beliau telah menggariskan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh BSP sama ada di dalam syarikat atau dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk rakan-rakan niaga, MKKJR dan masyarakat setempat untuk menanamkan budaya keselamatan jalan raya.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyaksikan salah satu pameran yang diadakan.
    Antara aktiviti yang diadakan semasa jerayawara di Makmal Tenaga Seria.

    Di samping inisiatif-inisiatif sedia ada, beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun hadapan, BSP dengan kerjasama BSM dan Megamas Training serta MKKJR, merancang untuk mengendalikan program outreach setiap suku tahun di institusi-institusi pengajian tinggi di negara ini.

    Jelasnya, program-program berkenaan memfokuskan kepada menyampaikan tujuh mesej penting keselamatan jalan raya termasuk tali pinggang keselamatan, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memandu di bawah pengaruh (DUI), memakai helmet dan/atau dengan peralatan dan pakaian perlindungan semasa menunggang, kesedaran mengenai pengguna jalan raya yang terdedah (pejalan kaki, murid-murid sekolah, orang berjoging dan penunggang basikal) dan pemeriksaan tayar.

    Mesej-mesej itu diperkukuhkan lagi dengan poster-poster keselamatan jalan raya baharu yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa majlis itu.

    Yang Berhormat Pengiran Dato kemudian melawat petak-petak pameran dan aktiviti yang diadakan di sekitar premis berkenaan.

    Turut diadakan adalah perbincangan-perbincangan dan dialog, membolehkan pengunjung menambah pengetahuan mengenai keselamatan jalan raya dan menyebarkan maklumat kepada keluarga dan rakan-rakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda