Beriga khidmat perbankan online

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dengan kerjasama Regus Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) mengadakan sesi kongsi sama dan taklimat bagi klien-klien perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mereka, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, hari ini, sesi itu mengetengahkan mengenai kerelevanan IT dan kepentingan perkhidmatan perbankan atas talian kepada komuniti perniagaan yang selaras dengan taklimat Revolusi Ruang Kerja oleh Regus.

Kenyataan menjelaskan bahawa acara itu bermatlamat untuk berkongsi dan mengetengahkan perkembangan serta ciri-ciri terbaharu produk dan perkhidmatan BIBD di mana taklimat serta demonstrasi disampaikan oleh Pengurus Pembangunan Produk BIBD Korporat, Andy Lau.

Pengurus Kanan Kumpulan Perbankan Korporat BIBD, Pengiran Sanusi bin Pengiran Haji Ismail menyatakan bahawa bagi acara tahunan itu, pihaknya mengetengahkan topik yang berbeza setiap tahun dan pada tahun ini, mereka menumpukan kepada teknologi kewangan di mana pihak bank memahami pentingnya IT kepada setiap industri daripada industri asas hingga ke industri tertiari.

Beliau menyatakan bahawa pada Januari 2018, Kumpulan Perbankan Korporat BIBD telah memperkenalkan platform perbankan atas talian yang lebih kukuh, BIBD BizNet.

Ia merupakan kaedah perbankan maya yang boleh menguruskan kewangan perniagaan secara selamat dalam masa sebenar pada bila-bila masa dan di mana sahaja di dunia.

Semasa taklimat berkenaan, BIBD berkongsi mengenai bagaimana produk dan perkhidmatan korporatnya direka untuk memudahkan perniagaan, mengekalkan dan menguruskan kos serta kewangan perniagaan mereka menerusi akaun perniagaan yang memudahkan mereka ke arah keperluan transaksi perniagaan.

Kenyataan menyatakan bahawa Regus yang diwakili Pengurus Kawasan, Michelle de la Harpe-Germani mengongsi secara terperinci mengenai Revolusi Ruang Kerja dan mengetengahkan produk serta perkhidmatan di pusat berkenaan.

Regus menjadikan misinya untuk membantu perniagaan menjana alam sekitar pekerjaan yang terbaik untuk kakitangan perniagaan berkenaan di mana ia akan membolehkan para pekerja untuk bekerja dengan lebih efisien.

Andy Lau ketika menyampaikan taklimat pada sesi berkenaan. – Gambar oleh BIBD