Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beriga langkah bendung isu buli

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada para ibu bapa yang terpilih dari sekolah-sekolah menengah kluster 1, 2 dan 3 menyertai Sesi Bengkel Brunei Bebas Buli yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan pada 27 Mac lalu.

    Bengkel sehari itu adalah salah satu aktiviti tahunan Program Brunei Bebas Buli yang merupakan salah satu inisiatif Jangkauan Sekolah untuk Program Mempromosikan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja di bawah Pusat Promosi Kesihatan.

    Ia diisikan dengan taklimat-taklimat yang berkaitan dengan pengenalan Program Brunei Bebas Buli, penerangan mengenai buli dengan cara-cara menghentikannya, peranan ibu bapa dan masyarakat dalam menanganinya serta teknik kaunseling yang disampaikan oleh beberapa orang pegawai dari Pusat Promosi Kesihatan dan wakil daripada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

    Bengkel itu dikendalikan oleh Pusat Promosi Kesihatan melalui Kumpulan Strategi Kesihatan Mental yang bekerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah bagi ibu bapa daripada PIBG.

    Ia bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terutama dalam kalangan ibu bapa akan isu buli, yang mana jika tidak diberikan intervensi awal boleh mendatangkan kesan-kesan negatif kepada ketumbesaran anak-anak mereka.

    Di samping itu, bengkel itu juga dihasratkan sebagai sebuah platform pemberigaan langkah-langkah yang dapat dan perlu dilaksanakan oleh para ibu bapa khususnya serta masyarakat pada amnya dalam sama-sama membendung isu buli dan seterusnya menjadikan negara kita, Brunei Darussalam bebas daripada gejala buli.

    Para peserta diberikan penerangan semasa Bengkel Brunei Bebas Buli yang diadakan di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda