Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 OGOS – Dalam mengongsikan maklumat mengenai operasi-operasi dan projek yang sedang dilaksanakannya, Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd (Brunei LNG) telah mengadakan jerayawara mengenai operasinya dan impak kepada komuniti sekitar yang berlangsung di Dewan Serba Guna Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC), hari ini.
Sebagai salah satu penglibatan tahunan Brunei LNG dengan pihak berkepentingan luarannya yang penting menjelang turnaround dijadualkan pada 4 September hingga 2 Oktober depan, jerayawara berkenaan bertujuan untuk memberikan kesedaran mengenai operasi-operasi dan projek yang dijalankan Brunei LNG.
Selain itu juga untuk menangani kebimbangan yang mungkin berbangkit mengenai kesan-kesan alam sekitar terutamanya semasa tempoh penutupan dan permulaan, serta memberi jaminan kepada jiran-jiran dan komuniti sekitar bahawa keselamatan kakitangannya, rakan-rakan perniagaan dan komuniti serta melindungi alam sekitar masih satu keutamaan.
Jerayawara menyasarkan pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, komuniti sekitar, rakan-rakan niaga serta para pengetua dan guru besar dari sekolah-sekolah di Mukim Liang Lumut.
Pada jerayawara itu, beberapa taklimat telah disampaikan yang menyentuh mengenai pengenalan kepada Brunei LNG, kakitangan dan penghuni yang bekerja di kawasan berkenaan, aktiviti penyelenggaraan turnaround, bahan api dan kerugian serta pencerobohan – aktiviti penangkapan ikan secara haram.
Para hadirin juga dapat bertanyakan soalan mengenai perkara yang dibincangkan dalam sesi soal jawab selepas pembentangan.
