Beriga pencegahan rasuah

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Salah satu inisiatifnya dalam menyampaikan maklumat berkaitan pencegahan rasuah, Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mengadakan sesi taklimat mengenai Pencegahan Rasuah di Bilik Tripartite, Tingkat 1, Ibu Pejabat Jabatan Buruh, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Awang Muhammad Saufi bin Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Buruh (Korporat), Awang Zulhilmi bin Haji Abidin serta lebih 85 orang pegawai dan kakitangan dari semua bahagian dan cawangan Jabatan Buruh.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, objektif utama taklimat adalah bagi mendedahkan dan menambah pengetahuan warga perkhidmatan awam khususnya warga jabatan berkenaan mengenai rasuah, pencegahannya dan yang berkaitan dengannya.

Antara kandungan yang disampaikan dalam taklimat tersebut adalah ciri-ciri rasuah, punca berlakunya rasuah, kesan-kesan rasuah dan amalan baik pengendalian hadiah dalam perkhidmatan awam.

Taklimat telah disampaikan oleh Awang Hisham bin Haji Sulaiman dari Bahagian Perhubungan Masyarakat, Pendidikan dan Integriti, Biro Mencegah Rasuah.

Awang Muhammad Saufi hadir selaku tetamu kehormat pada sesi taklimatyang diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Buruh, kelmarin. – Gambar daripada Jabatan Buruh