Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Hari kedua bagi siri Jerayawara Kesedaran Kewangan bersempena dengan Hari Menabung Kebangsaan 2019 telah diadakan di Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), hari ini.
Hadir ke jerayawara tersebut ialah Pemangku Pengarah Urusan, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Dato Seri Setia Haji Metussin bin Haji Baki serta pegawai-pegawai kanan dari AMBD, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Kementerian Pendidikan.
Antara lain tujuan jerayawara berkenaan adalah untuk memberigakan mengenai kepentingan menabung dalam kalangan belia pada setiap peringkat umur.
Selain itu, ia juga merupakan salah satu daripada inisiatif AMBD untuk membangunkan generasi yang celik kewangan, serta untuk merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam mencapai ekonomi yang dinamik dan mapan serta penduduk yang berkemahiran tinggi.
Jerayawara tersebut dihadiri oleh pelajar-pelajar LCB dan Institut KEMUDA yang tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti interaktif yang bertemakan pengurusan kewangan.

Dalam memeriahkan lagi jerayawara itu, pelbagai aktiviti disediakan yang dianjurkan bersama AMBD, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Tabung Amanah Pekerja (TAP), Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM), Persatuan Perancang Kewangan Brunei Darussalam (FPAB), Junior Achievement (JA) Brunei serta institusi-institusi kewangan yang turut hadir.
Jerayawara Kesedaran Kewangan yang seterusnya akan diadakan di Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS) esok.
Acara kemuncak bagi Hari Menabung Kebangsaan 2019 adalah Pesta Ria Kewangan yang akan diadakan pada 17 dan 18 Ogos di Jerudong Park Colonnade.
Di mana pada acara itu nanti akan menampilkan pelbagai program dan aktiviti yang menarik untuk seisi keluarga termasuk persembahan khas daripada Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei, Financial Race dan Eco-Tech Financial Costume Competition.
Jerayawara berkenaan dianjurkan oleh AMBD dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui JPKE dan TAP, Kementerian Pendidikan, JA Brunei dan beberapa institusi-institusi kewangan.
Untuk maklumat lanjut mengenai Hari Menabung Kebangsaan 2019, sila layari laman web AMBD di www.ambd.gov.bn; atau muat turun aplikasi mudah alih AMBD melalui ‘App Store’ atau ‘Google PlayStore’ atau ikuti akaun Instagram AMBD di @autoriti_monetari.