Beriga peranan perintah persaingan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Lebih 70 orang mahasiswa dan mahasiswi sarjana muda dan sarjana daripada Fakulti Perniagaan, Universiti Teknologi Brunei (UTB) menghadiri sesi dialog mengenai Peranan Perintah Persaingan dalam Pertumbuhan Ekonomi anjuran Sekretariat Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam, pada hujung minggu lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Ekse-kutif Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam, sesi dialog berkenaan merupakan sebahagian daripada Siri Dialog Perintah Persaingan, yang bertujuan untuk menerapkan kefahaman mengenai peranan perundangan persaingan dalam pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

Sesi berkenaan juga bertujuan untuk memperkenalkan perundangan persaingan sebagai salah satu bidang kajian yang dapat dilaksanakan oleh mahasiswa di peringkat sarjana muda dan sarjana serta akademia.

Ini mengambil kira kepentingan dasar persaingan dalam mencapai pasaran yang berdaya tahan ke arah visi ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Sesi tersebut dimulakan dengan pengenalan mengenai perkembangan Perintah Persaingan oleh Sekretariat Eksekutif Suruhanjaya Persaingan, diikuti dengan taklimat mengenai perundangan persaingan dan pertumbuhan ekonomi yang disampaikan oleh mantan ketua Dasar Persaingan dan Pengguna di UNCTAD, Dr Hassan Qaqaya yang kini merupakan felo kanan di Melbourne Law School, University of Melbourne dalam bidang Dasar Perdagangan Antarabangsa dan Persaingan.

Sesi diteruskan oleh Sekretariat Eksekutif Suruhanjaya Persaingan dengan penerangan mengenai Perintah Persaingan terutamanya mengenai Perjanjian Anti-­Persaingan yang telah dikuatkuasakan pada awal tahun ini.

Dialog berkenaan mendapat penyertaan aktif daripada mahasiswa yang membincangkan mengenai perkara berkaitan amalan peniaga dalam konteks Negara Brunei Darussalam.

Sesi diakhiri dengan penyampaian Buku Garis Panduan Persaingan Perniagaan dan risalah Soalan-soalan Lazim mengenai Perintah Persaingan yang disediakan oleh suruhanjaya persaingan.

Dialog bersama UTB itu merupakan sesi pemberigaan pertama yang diadakan di peringkat universiti seperti yang dijadualkan dalam Pelan Komunikasi Persaingan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai Perintah Persaingan.

Sekretariat Eksekutif Suruhanjaya Persaingan turut menggalakkan akademia serta mahasiswa di peringkat sarjana di UTB untuk menyertai Virtual ASEAN Competition Research Centre (Pusat Virtual) yang menyediakan platform untuk memperkaya kajian mengenai isu persaingan di ASEAN.

Gambar ramai bersama Dr Hassan Qaqaya semasa sesi dialog mengenai Peranan Perintah Persaingan dalam Pertumbuhan Ekonomi di UTB, baru-baru ini. – Gambar serahan Sekretariat Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam