Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Takaful Islam Brunei Darussalam melalui Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd (TBK) hari ini, mengadakan taklimat mengenai Perancangan Kewangan Islam yang berlangsung di Auditorium Ibu Pejabat Polis, Tungku.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pengarah Jabatan Pentadbiran Am dan Kewangan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Awang Mohammad Zulhimi bin Haji Omar Ali.
Juga hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pentadbiran Am dan Kewangan PDB, Haji Zaini bin Haji Abdul Rahim, pegawai-pegawai penguasa balai polis daerah dan juga anggota pangkat rendah PDB.
Taklimat berkenaan merupakan satu inisiatif untuk berkongsi mengenai kepentingan perancangan kewangan Islam melalui kaedah takaful yang mana taklimat berkenaan menyentuh mengenai sejarah perancangan kewangan Islam, komponen-komponen dalam perancangan kewangan Islam dan perancangan kewangan Islam melalui kaedah takaful.
Ketua Perkhidmatan Korporat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd, Pengiran Mohd Suffri bin Pengiran Hashim berkata, taklimat berkenaan diadakan sebagai mendukung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tentang perancangan kewangan Islam semasa Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda pada 2006 yang antara menekankan keuntungan tambahan akan diterima oleh pegawai-pegawai dan pekerja kerajaan boleh digunakan secara berjimat cermat, sambil untuk berjimat melalui perancangan kewangan bagi keperluan masa depan.
Selaras dengan titah Baginda itu, baru-baru ini, Autoriti Monetari Negara Brunei Darussalam (AMBD) serta beberapa agensi di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan siri Jerayawara Kesedaran Kewangan bagi institusi pendidikan tinggi bagi meningkatkan kesedaran dalam hal ehwal pengurusan kewangan dan menabung bersempena Hari Menabung Kebangsaan 2019 di samping untuk merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035 ke arah mencapai ekonomi yang dinamik dan mampan.
Taklimat dan jerayawara berkenaan akan dilaratkan ke jabatan-jabatan, formasi dan balai di bawah PDB untuk meningkatkan kefahaman, mendapatkan penjelasan dan menguasai ketepatan fakta secara terus sebagai platform yang memberi kesedaran mengenai kepentingan budaya menabung dan kebebasan kewangan, celik kewangan serta perlindungan (Takaful) bagi anggota PDB.
