Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berikan ulat beluncas ‘habitat selamat’ di bawah pokok

    Oleh Jessica Damiano –

    Jika awda seperti kebanyakan pekebun yang prihatin terhadap alam sekitar, awda mungkin memberi banyak perhatian kepada penanaman tumbuhan yang ‘betul’ untuk menyokong pendebunga dan hidupan liar lain melalui nektar, debunga, biji dan buah. Namun, adakah awda pernah memikirkan tentang habitat haiwan-haiwan itu?

    Selain sumber makanan, serangga bermanfaat dan hidupan kecil lain memerlukan tempat tinggal yang selamat untuk berehat, bersembunyi, membiak dan melalui proses pupa.

    Salah satu kawasan penting dalam kitaran hidup mereka adalah di sekitar pangkal pokok.

    “Kita selalu bercakap tentang pentingnya pokok (asli) dalam menghasilkan ulat beluncas yang menggerakkan rangkaian makanan,” kata ahli entomologi dan penulis buku terlaris Nature’s Best Hope dan Bringing Nature Home, Doug Tallamy.

    “Tetapi ulat beluncas itu akan jatuh dari pokok dan menjalani proses pupa di tanah. Cara kita mengurus landskap di bawah pokok menentukan sama ada ulat beluncas ini dapat hidup atau tidak,” jelasnya.

    Seekor ulat Eastern Black Swallowtail memakan tumbuhan adas di Spring, Texas pada 14 Ogos 2020. – AP
    Daun dan tumbuhan kecil mengelilingi pangkal pokok di sebuah taman di Westchester County, New York pada 26 Julai lalu. – AP
    Seekor rama-rama Eastern Tiger Swallowtail hinggap pada sekuntum bunga di Minnesota Valley National Wildlife Refuge di Bloomington, Minnesota pada 8 Ogos 2005. – AP
    Rumput tumbuh di bawah kelompok pokok di May Prairie State Natural Area di Manchester, Tennessee pada 20 Ogos 2020. – AP
    Seekor Eastern Tiger Swallowtail bertenggek pada sekuntum bunga di 1782 Settlement Farm di Middlesex, Vermont pada 10 Jun 2013. – AP

    BERIKAN ULAT BELUNCAS ‘HABITAT SELAMAT’

    Jadi, bagaimana kita menguruskan kawasan di bawah pokok? Awda boleh bersetuju jika rumput awda tumbuh betul-betul hingga ke batang pokok.

    Sebaliknya, Tallamy berkata, “Kita mahukan kawasan yang tidak padat dan tidak sering dipijak, yang bermaksud kita perlu membina batas tanaman di sekeliling pokok. Jika awda memotong rumput atau berjalan di bawahnya, awda sebenarnya memijak ulat-ulat itu.”

    Ulat beluncas menjadi sumber makanan untuk burung, yang membantu mengawal perosak di kebun dengan memakan ribuan serangga setiap tahun untuk anak-anak mereka.

    Ulat juga merupakan sumber makanan penting untuk reptilia dan labah-labah. Dan serangga itu sendiri memakan perosak tanaman seperti aphid.

    Apabila matang, ulat berubah menjadi rama-rama dan kupu-kupu, yang menjadi pendebunga penting bagi bunga, buah dan sayuran.

    Menyediakan ‘habitat selamat’ untuk ulat tersebut, sementara pada masa sama mewujudkan habitat bagi lebah asli, kelip-kelip, kumbang dan serangga bermanfaat lain, adalah penting untuk kesihatan ekosistem.

    Dan cara mudah hanya memerlukan dua langkah.

    CARA MELAKUKANNYA

    Pertama sekali, biarkan daun yang gugur berada terus di bawah pokok.

    Ulat yang sedang melalui proses pupa akan selesa di bawah hamparan semula jadi itu dan awda pula dapat mengurangkan kerja menyapu dedaun.

    Seterusnya, tanam penutup bumi dan tumbuhan lain di bawah kanopi pokok, iaitu kawasan yang diliputi bayang-bayang pokok dari hujung dahan ke hujung dahan.

    “Pilih tumbuhan yang dapat menyokong rangkaian makanan, tumbuhan yang berkongsi tenaga paling banyak dengan hidupan lain,” kata Tallamy.

    Ini termasuk memilih pakis, phlox hutan, rumput hiasan (sedges) dan penutup bumi, pokok renek serta pokok saka asli. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda