Cuti sekolah secara rasminya telah bermula pada minggu ini. Ada yang belayar melihat dunia luar, ada yang pulang ke kampung halaman berjumpa orang tua, ada yang duduk-duduk di rumah saja untuk bersantai.
Apa pun yang kita lakukan, sentiasalah berwaspada. Terutama bagi orang yang meninggalkan rumah buat jangka masa yang panjang. Sesungguhnya ini adalah peluang yang sangat dinanti-nantikan oleh ‘si panjang tangan’.
Sebagai persediaan, pasanglah kamera litar tertutup di bahagian yang strategik. Contohnya seperti di pintu masuk utama dan bahagian belakang rumah. Kamera-kamera ini boleh didapatkan di kedai-kedai komputer atau barangan elektronik. Harganya juga tidaklah terlalu mahal.
Seterusnya, pastikan lampu di luar rumah sentiasa dibuka. Atau sekurang-kurangnya boleh pasang lampu berjadual menggunakan timer. Ada penyelesaian yang lebih moden iaitu dengan memasang smart switch di mana kita boleh mengawal suis lampu dengan menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi tertentu.
Akhir sekali, elakkan menguar-nguarkan kepada orang ramai di media sosial mengenai aktiviti awda secara langsung. Kerana ini boleh mengundang perbuatan jahat manusia yang menunggu kesempatan.
Sebaliknya, jika awda ingin juga memberitahu kepada seluruh dunia mengenai aktiviti awda, buatlah #throwback setelah pulang daripada cuti dengan selamat.
Mat Sapu







