Berinteraksi dengan haiwan zoo menerusi media sosial

PHOENIX – Zoo Phoenix, bergelut seperti kebanyakan zoo lain di seluruh dunia semasa penutupan koronavirus, telah menemui penyelamat luar biasa dalam seekor sloth.

Sementara Fernando mungkin bergerak perlahan, sloth dengan dua jari kaki Linne berusia empat tahun itu semakin meningkat popular di internet. Sejak Fernando menyertai Cameo, platform perkongsian video di mana orang membayar untuk ucapan selebriti, zoo telah menerima 150 permintaan untuk klip peribadi. Kepopularannya membolehkan zoo menambah bayarannya daripada AS$25 kepada AS$50.

“Saya fikir kami perlu lebih kreatif, memikirkan di luar perspektif. Kami mencuba sesuatu yang tidak pernah kami lakukan sebelum ini,” kata Bert Castro, presiden dan CEO Zoo Phoenix.

Media sosial adalah satu satu cara yang digunakan oleh zoo di seluruh dunia untuk berinteraksi dengan orang yang tidak dapat melawat – sumber utama pendapatan mereka – dan mengumpul wang yang amat diperlukan. Zoo dan akuarium telah membawa tarikan yang memikat hati dengan menyiar gambar dan video haiwan, tetapi penutupan bermakna mereka masih terjejas.

Selain pekerjaan, kebajikan haiwan juga terancam.

Seorang penjaga zoo memberikan lobak merah kepada badak air di Zoo Santacruz di San Antonio, Colombia. – AP
Fernando, seekor sloth, mencapai bunga mawar kuning untuk dimakan di habitatnya di Zoo Phoenix di Phoenix. – AP
Penjaga zoo Carlo Catino bekerja dengan Ady, singa laut di Zoo Denver. – AP
Burung flamingo sedang menikmati makanannya di Zoo Santacruz, San Antonio, Colombia. – AP

“Mereka tidak boleh menghantar pekerja pulang dan menutup lampu dan mengunci pintu. Mereka perlu menjaga haiwan berkenaan,” kata Dan Ashe, presiden Persatuan Zoo dan Akuarium.

Persatuan yang mempunyai 220 zoo dan akuarium di AS, yang biasanya menarik 200 juta orang setahun, semuanya ditutup, kata Ashe. Kira-kira 60 peratus daripada anggotanya telah memohon pinjaman menerusi pakej bantuan koronavirus bertujuan mengehadkan pembuangan pekerja di perniagaan kecil.

Zoo Phoenix, operasi berjumlah AS$1 juta sebulan, telah kerugian AS$80,000 sehari sejak ditutup pada 18 Mac, kata Castro. Kemudahan di bandar kelima terbesar negara itu telah diberikan pinjaman AS$2.7 juta di bawah program persekutuan dan telah mengumpul ratusan ribu dalam talian untuk 3,000 haiwannya.

Castro percaya video yang disiar secara langsung di Facebook membuat orang rasa lebih rapat dengan zoo. Sejak beberapa bulan lalu, jumlah penonton telah meningkat 350 peratus, dan pengikut Instagram juga meningkat. Kehadiran Fernando di Cameo mungkin hanya satu rangsangan kecil, namun ‘ia amat popular sehingga kami akan meneruskannya seberapa lama mungkin,” kata Castro.

Zoo Oakland di Kawasan Teluk San Francisco baru-baru ini membawa balik lebih 200 pekerja sepenuh masa, sekurang-kurangnya sehingga Jun, selepas mendapat pinjaman di bawah program persekutuan. Ia juga memulakan program langganan dalam talian yang menawarkan video di balik tabir dengan haiwan dan penjaga zoo. Harganya AS$14.95 sebulan dan AS$9.95 untuk ahli zoo.

“Objektif kami adalah bertahan sehingga mereka membenarkan kami membuka semula perniagaan dan orang boleh datang kembali dan melihat haiwan berkenaan,” kata presiden zoo Joel Parrott.

Zoo Toronto sedang menyiar video mengenai peristiwa penting seperti menimbang berat panda merah, menarik puluhan ribu pengikut media sosial baharu, kata jurucakap Amanda Chambers. Strategi tersebut juga membantu memberi tumpuan pada haiwan yang kurang dikenali.

“Ia merupakan peluang untuk memaparkan spesies yang kurang mendapat perharian,” kata CEO Dolf DeJong.

“Bagi kami, ia mengenai peluang bercakap tentang penyu Blanding, spesies terancam yang sedang dibiak dalam komuniti kami.”

Akuarium Teluk Monterey di California pula menarik orang ramai dengan menyiar secara langsung penguin dan ikan yu Afrika. Ia juga menghasilkan video ‘MeditOceans’ di YouTube mengenai ciri-ciri menarik haiwan lautan. Juruselam menjalankan kerja-kerja rutin diiringi tarian ‘Jump On It’ oleh Sugarhill Gang dalam video popular.

Zoo London telah menggunakan media sosial untuk mempromosi dirinya dan pekerja barisan hadapan. Ia terletak berdekatan dengan beberapa hospital dan membenarkan pekerja perubatan menggunakan tempat letak kereta, di mana ramai boleh melihat zirafah Maggie dan Molly menerusi pagar, dan mereka telah berkongsi gambar dan video di depan papan tanda yang menghormati pekerja perubatan, menurut laman Facebook zoo. – AP