Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Super Squad kini melangkah setapak lebih jauh apabila mengumumkan perlancaran Kejohanan Super Borneo 2019 pada awal bulan Oktober depan.
Dengan sokongan Tourism Malaysia dan Lembaga Pelancongan Sabah, kejohanan yang akan dilancarkan buat pertama kali di Tun Adnan Sport Complex di Yayasan Sabah itu diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penggemar dan pemain bola sepak dan futsal di kedua-dua Negara selain mempromosikan pelancongan sukan di ASEAN menerusi platform online.
Perkara tersebut adalah antara yang dijelaskan oleh Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif Super Squad, Awang Faezal Murni pada sidang media Kejohanan Super Borneo 2019 yang berlangsung di BIBD Connects, Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara, petang tadi.
Menerusi kejohanan tersebut, para pemain bola sepak dan futsal di Brunei bolehlah merancang untuk bermain bersama pemain di Sabah dan begitu juga sebaliknya apabila para pemain Sabah berada di negara ini dan ingin beraksi bersama pemain di negara ini.
Pelbagai hadiah menarik turut ditawarkan bagi para pemain yang menggumpul mata tertinggi pada penghujung musim nanti yang bakal diumumkan pada bulan Disember depan.
Selain itu sebanyak 40 hadiah bertuah turut diberikan secara rawak bagi pemain sepanjang kejohanan berlangsung.
Mewakili pihak Tourism Malaysia, Haji Ibrahim Seddiq Talib pada sidang media berkenaan turut memuji inisiatif Super Squad dalam usaha memberi kemudahan kepada pemain kedua-dua negara untuk mengadakan perlawanan sihat dan menyeronokkan.
Sementara itu, mewakili Pan Bright Travel Service, Dayang Nur Khadijah Abdullah menyatakan bahawa syarikatnya turut menawarkan pakej perkhidmatan perjalanan menuju ke Sabah dan pakej bagi para pemain yang datang ke negara ini dalam memudahkan mereka mencari tempat tinggal dan sebagainya.
Antara rakan kongsi kejohanan ialah Redbull, Head Hunter Sport, Oddbox Pictures dan Pan Bright Travel.
