SHANGHAI, 2 OGOS – Walaupun ketibaan Rafael Benitez menjadi tajuk utama akhbar tempatan dan antarabangsa tetapi lima daripada 16 pasukan pasukan Liga Super Cina (CSL) telah memecat pengurus mereka sejak sebulan yang lalu.
Kelab CSL kelihatan hilang arah ketika memasuki peringkat ketiga musim ini dengan persaingan kejuaraan dan bergelut dengan penyingkiran amat sengit.
Kejutan terbesar muncul pada Rabu apabila Beijing Guoan mencantas pengurus dari Jerman Roger Schmidt dan melantik Bruno Genesio sebagai penggantinya.
Schmidt yang berusia 52 tahun berasa sangat terkilan dengan Guoan berada di tangga ketiga CSL, hanya empat mata di belakang pemimpin Guangzhou Evergrande.
Bekas jurulatih Bayer Leverkusen itu mengilhamkan Guoan untuk menjulang Piala FA musim lalu dan kelab ibu kota itu memulakan musim dengan rekod 10 kemenangan berturut-turut.
Tetapi Guoan begitu kejam menggantikannya dengan bekas pengurus Lyon Genesio berikutan kekalahan ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan.
“Bola sepak profesional sangat kejam.
Pendapatan tinggi disertai risiko dan tekanan tinggi,” kata wartawan Yuan Fang dalam harian Oriental Sports hari ini.
Yuan dan media China lain mengatakan terdapat ketidakpuasan dengan kaedah latihan melampau Schmidt sehingga prestasi segelintir pemain menurun. – AFP
