Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berjalan 7,000 langkah sehari elak kematian awal – Kajian

    PARIS, 24 JULAI – Individu yang berjalan sebanyak 7,000 langkah sehari mempunyai risiko yang jauh lebih rendah untuk mengalami pelbagai masalah kesihatan serius, menurut ulasan kajian terbesar setakat ini yang diterbitkan hari ini.

    Sasaran 10,000 langkah sehari sering dipromosikan dalam pemantauan kesihatan peribadi, namun angka itu sebenarnya berasal daripada kempen pemasaran pedometer Jepun sekitar tahun 1960an dan bukan berdasarkan bukti saintifik yang kukuh.

    Bagi mencari sasaran yang lebih saintifik, sekumpulan penyelidik antarabangsa meneliti 57 kajian terdahulu melibatkan 160,000 individu dari pelbagai latar belakang.

    Hasil kajian yang diterbitkan dalam jurnal Lancet Public Health mendapati berjalan 7,000 langkah sehari mampu mengurangkan hampir separuh risiko kematian awal akibat semua punca berbanding hanya berjalan 2,000 langkah sehari.

    Kajian itu turut menganalisis kesan terhadap masalah kesihatan yang sebelum ini kurang dikaji dalam konteks jumlah langkah harian.

    Gambar AFP

    Berjalan sebanyak 7,000 langkah sehari dikaitkan dengan penurunan risiko demensia sebanyak 38 peratus, kemurungan sebanyak 22 peratus dan diabetes sebanyak 14 peratus.

    Ia juga menunjukkan kaitan dengan pengurangan kes kanser dan insiden jatuh, walaupun bukti dalam aspek ini masih dianggap terhad.

    “Awda tidak perlu mencapai 10,000 langkah sehari untuk mendapat manfaat kesihatan yang besar,” kata Dr Paddy Dempsey, penyelidik perubatan dari Universiti Cambridge yang juga merupakan salah seorang penulis bersama kajian itu kepada AFP.

    “Manfaat terbesar berlaku sebelum 7,000 langkah – selepas itu, kesannya mula mendatar,” katanya.

    Walaupun kadar kelajuan berjalan berbeza antara individu, 7,000 langkah sehari bersamaan kira-kira sejam berjalan kaki secara keseluruhan dalam sehari.

    Dr Dempsey turut menasihatkan mereka yang sudah terbiasa dengan 10,000 langkah atau lebih supaya meneruskannya, namun memberi semangat kepada mereka yang mungkin berasa jumlah 7,000 langkah itu sukar untuk dicapai, ‘jangan patah semangat’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda