Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berjaya genggam diploma meski lumpuh

    Lumpuh sejak lahir dan memerlukan bantuan orang lain untuk bergerak tidak pernah mematahkan semangat Muhammat Izzat Hanafi Suhaili untuk meraih impian menggenggam segulung diploma.

    Pemuda berusia 21 tahun itu menghidap masalah atropi otot spina atau muscle deterioration sejak lahir hingga mengakibatkan otot di anggota badannya terutama kaki dan tangan mengecil serta perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

    Muhammad Izzat, yang memulakan pengajian dalam bidang teknologi maklumat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh pada 2019, berkata dua kali dia hampir berhenti belajar kerana sukar untuk pergi ke kelas.

    “Malah, pada Mac 2020 saya hilang semangat untuk belajar apabila kehilangan ayah (Suhaili Othman). Mujur ibu memujuk saya untuk terus belajar hingga tamat dan akhirnya memperoleh diploma pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Keenam Istiadat Konvokesyen ke-23 UTHM di Batu Pahat baru-baru ini.

    Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata ibunya, Zainab Othman, 64, sanggup berulang-alik kira-kira 60 kilometer (km) bagi menghantarnya ke kelas dan lebih kurang 90km ketika dia menjalani latihan praktikal selama enam bulan.

    Muhammad Izzat Hanafi Suhaili (berkerusi roda) menunjukkan Diploma Teknologi Maklumat dari UTHM setelah berjaya menamatkan pengajiannya walaupun mengalami kesukaran untuk bergerak dan memerlukan bantuan orang lain. – Bernama
    Zaidatul Husniah dan Zaidatul Husna bergambar bersama semasa Majlis Konvokesyen ke-47 UPM baru-baru ini. – Bernama

    Menurutnya ketika di dalam kelas, pensyarah dan rakan-rakannya banyak membantu selain memberikan kata-kata semangat termasuk ketika menyiapkan tugasan yang diberikan.

    Muhammad Izzat berkata semasa penularan pandemik COVID-19, dia menghabiskan tiga semester belajar di rumah kerana tiada kelas bersemuka dan sekali lagi, ibunya yang juga pesara guru banyak membantu.

    “Setelah tamat pengajian dan selesai konvokesyen, saya bercadang untuk mencari kerja yang sesuai dengan kelulusan dan keadaan saya. Jika boleh pekerjaan itu ada kaitan dengan teknologi maklumat,” katanya.

    Sementara itu, Zainab berkata anaknya itu sememangnya seorang pelajar yang pintar malah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), cuma keadaan fizikalnya sahaja yang berbeza dengan insan lain.

    “Saya berharap dia tidak patah semangat dan mampu meneruskan cita-citanya untuk menyambung pengajian seterusnya menggenggam segulung ijazah satu hari nanti,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, pasangan kembar atlet pecut wanita Malaysia, Zaidatul Husniah Zulkifli, 30 dan Zaidatul Husna berjaya bergraduasi bersama pada Majlis Konvokesyen ke-47 Universiti Putra Malaysia (UPM) sidang kedua, akhir November lalu.

    UPM dalam kenyataan memaklumkan perjalanan pengajian ijazah sarjana muda bagi kembar berkenaan yang mengambil masa sembilan tahun, dipenuhi pelbagai cabaran kerana masing-masing perlu memberi fokus pada latihan olahraga bagi mengharumkan nama Malaysia.

    Zaidatul Husniah yang merupakan graduan Sarjana Muda Pendidikan Jasmani berkata beliau perlu merancang pelajaran setiap semester agar dapat melakukan latihan olahraga dan fokus pada akademik.

    “Saya pernah menangguhkan pengajian selama tiga tahun kerana perlu menjalani latihan di luar negara iaitu pada 2017, 2018 dan 2020. Ini satu cabaran dan pengorbanan yang perlu dilakukan,” katanya dalam kenyataan itu.

    Sementara itu, kakaknya Zaidatul Husna yang merupakan graduan Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia mengakui kekangan masa menjadi cabaran terbesar buat atlet yang menyambung pengajian.

    Beliau berkata selain menyusun masa untuk menghadiri latihan dan kelas yang tidak menentu waktunya, mereka juga perlu menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.

    “Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya. Inilah hadiah paling bermakna buat kedua-dua ibu bapa kami kerana mereka merupakan tulang belakang yang sentiasa memberi sokongan, semangat dan dorongan tanpa jemu.

    “Sukan kita boleh berhenti tetapi pelajaran dan ilmu tidak boleh berhenti,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda