Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah menganjurkan Kempen Derma Darah di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, di ibu negara yang berjaya mengumpulkan sebanyak 267 pain darah.
Hadir bagi sama-sama menyokong kempen yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Perkhidmatan Darah Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan dan Pusat Perubatan Jerudong Park itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif dan Pengarah Perubatan JPMC, Dr Meera Kabeer.
Kempen yang bermula sekitar jam 9 pagi sehingga 3 petang itu antara lain bertujuan untuk mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama membantu Pusat Perkhidmatan Darah Jabatan Perkhidmatan Makmal meningkatkan simpanan bekalan darah di pusat berkenaan bagi kegunaan semua hospital di negara ini.
Selain itu, kempen juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai akan peri pentingnya menderma darah untuk menyelamatkan nyawa para pesakit yang memerlukan pemindahan darah tanpa mengharapkan sebarang imbalan.

