Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berjinak-jinak untuk hidup berdikari

    BEBERAPA perkara perlu anda tahu sebelum melangkah keluar dari rumah untuk mula kehidupan baharu. Sama ada tinggal di asrama atau kolej, bekerja jauh di perantauan, ini antara perkara perlu anda mahir dan sentiasa bersedia.

    Menjalani kehidupan baharu sebagai pelajar di universiti ataupun berjauhan dengan keluarga atas tuntutan kerja memerlukan kita untuk cekal menghada-pi segalanya sendiri. Jika dahulu, rutin harian dibantu ibu bapa ataupun adik-beradik, namun kini kita perlu berdikari dalam menyelesaikan apa saja masalah.

    Jika sebelum ini kita ditatang bagaikan minyak penuh, segala-galanya berubah apabila terpaksa melakukan semua perkara tanpa bantuan ibu atau ayah. Di sini dikongsikan beberapa perkara yang kita perlu tahu sebelum melangkah ke fasa baharu ini:

    Tukar tayar

    Mungkin tidak terlintas di fikiran kita apatah lagi anak gadis untuk belajar menukar tayar kereta tapi itulah hakikatnya. Tidak mengapa untuk menelefon ayah, abang atau kenalan jika kita tinggal berdekatan dengan rumah, namun jika jarak yang jauh? Mustahil untuk meminta bantuan sebarangan orang awam atas faktor keselamatan. Tidak kira sama ada lelaki atau wanita, tidak ada salahnya untuk kita belajar menukar tayar kereta.

    Video di YouTube dapat membantu dan bukan itu saja, sekiranya anda mempunyai kenderaan, peralatan menukar tayar perlulah sentiasa ada dalam kereta. Bukan hanya untuk diri sendiri tetapi teknik ini mungkin dapat mengejutkan orang sekeliling.

    Mungkin tidak terlintas difikiran kita apatah lagi anak gadis untuk belajar menukar tayar kereta tapi itulah hakikatnya. Tidak mengapa untuk menelefon ayah, abang atau kenalan jika kita tinggal berdekatan dengan rumah, namun jika jarak yang jauh? Mustahil untuk meminta bantuan sebarangan orang awam atas faktor keselamatan. – Gambar hiasan
    Apabila anda membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian di luar negara, segala kelengkapan seharian bukan lagi dijaga ibu. Semuanya perlu dilakukan sendiri dari membasuh pakaian, melipat bahkan mengemas beg untuk bercuti. Untuk menghadapi situasi ini, anda perlu belajar mengemas cara paling ringkas mulai sekarang. – Gambar hiasan

    Jaga diri sendiri

    Isu ini menjadi keutamaan bagi sesiapa saja baik lelaki atau perempuan. Tahu beberapa teknik mempertahankan diri ibarat bonus untuk anda yang terpaksa berdiri sendiri. Bergaduh sesama adik-beradik tidak boleh dianggap latihan yang cukup meskipun anda selalu menang, untuk lebih yakin apakata ambil kelas seni mempertahankan diri sebelum melangkah jauh dari pandangan keluarga.

    Mengemas cara mudah

    Apabila anda membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian di luar negara, segala kelengkapan seharian bukan lagi dijaga ibu. Semuanya perlu dilakukan sendiri dari membasuh pakaian, melipat bahkan mengemas beg untuk bercuti.

    Untuk menghadapi situasi ini, anda perlu belajar mengemas cara paling ringkas mulai sekarang. Tahu bezakan kelengkapan penting perlu dibawa untuk beg bercuti, waktu terbaik membasuh baju dan sentiasa pastikan bilik dan almari kemas. Ingat, waktu ini, tiada siapa lagi dapat membantu anda.

    Lawan takut

    Hal ini mungkin tidak menjadi masalah bagi lelaki tetapi ia cabaran besar untuk si gadis. Takut kepada labah-labah, lipas, cicak, serangga kecil antara haiwan biasa yang terpaksa kita hadapi. Waktu ini, sekuat mana jeritan anda sudah tidak didengari sesiapa.

    Apa yang boleh dilakukan, tarik nafas sedalam-dalamnya dan hadapi dengan penuh berani.

    Sama ada membunuh dengan semburan racun perosak atau alatan lain, terpulang cara anda mengendalikannya.

    Tahu fungsi dan kegunaan alatan

    Selama ini kita mungkin malas untuk ambil tahu bagaimana cara mengguna penukar skru, penebuk dinding atau alatan seupamanya, kini sudah tiba masanya untuk belajar teknik asas. Bayangkan jika sesuatu barangan rosak, sampai bila kita akan menunggu orang lain datang membantu. Walaupun hanya kerosakan kecil seperti skru longgar, ia lebih baik dibaiki sendiri daripada membuang masa dan menyusahkan orang lainl.

    Atur kewangan

    Apa perlu anda buat dengan duit belanja bulanan ataupun gaji diterima? Pada waktu ini, bukannya aturan duit keluar masuk terperinci perlu ada tapi perlu faham kegunaan wang untuk perkara penting dan seterusnya.

    Sebagai contoh, utamakan hutang pinjaman untuk dibayar sebelum berbelanja membeli pakaian baharu. Duit rumah sewa, bil ataupun bajet membeli buku dibahagikan dua bahagian supaya ia tidak dicampur aduk dan tersalah guna. Jika tersasar, buruk padahnya.

    Waktu terbaik minta pertolongan

    Apabila melangkah ke alam baharu, kita semahu-mahunya menjadi individu yang berdikari. Tidak perlu paksa diri secara mendadak, tidak salah apabila belajar perlahan-lahan. Ada masanya kita perlukan bantuan daripada orang lain tapi perlu tahu waktu sesuai, tidak semestinya apa saja dugaan perlukan bantuan orang lain.

    Usaha sendiri terlebih dahulu sebelum meminta bantuan, ia bukannya untuk memberi tekanan kepada diri tetapi untuk buatkan kita belajar kemahiran hidup supaya bersedia untuk menghadapinya jika ia berulang kelak. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda