Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berjumpa sesudah meninggal

    Oleh Freeny –

    Ketika keluargaku keluar melawat saudaraku yang sedang sakit, tinggallah aku seorang di rumah dan seperti biasa aku menelefon kawanku Hafiz untuk pergi ke rumahku bermain basikal seperti selalunya. Hafiz adalah teman karibku yang tinggal tidak jauh dari rumahku.

    Kami berdua selalu bersama-sama dan hubungan kami adalah sangat rapat seperti adik-beradik.

    Sedang aku melihat televisyen di ruang tamu telefon berdering dan aku mengangkatnya, emak menelefon dan memberitahu yang mereka akan balik akhir atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Hari semakin petang namun Hafiz belum tiba lagi.

    “Barangkali Hafiz sibuk agaknya,” bisikku dalam hati.

    Tapi aku yakin Hafiz akan datang kerana dia seorang yang teguh pada janji dan jika dia tidak datang dia akan menelefon aku. Jam menunjukkan pukul 6, tiba-tiba aku mendengar bunyi basikal di luar rumah dan aku pun membuka pintu rumah. Hafiz berdiri depan pintu dengan mukanya tersenyum.

    Gambar Freepik

    “Masuklah Fiz, aku ada permainan baharu,” kataku kepadanya namun ia hanya berdiri tanpa berkata apa-apa.

    Tiba-tiba satu barang jatuh dari ruang tamu, dan aku terus mengangkat pasu yang jatuh itu. Nasib tidak pecah. 

    “Fiz, kau tidur sini saja, hari pun malam sudah”, kataku kepadanya.

    Apabila aku menoleh, Hafiz tidak lagi kelihatan di situ. Aku pun bergegas keluar namun aku tidak nampak basikalnya dan dirinya.

    “Fiz…Fiz…,” teriakku memanggil namanya namun tiada berjawab.

    Kututup pintu dan duduk di ruang tamu.

    “Mengapa Hafiz tiba-tiba hilang?” Aku bercakap sendirian.

    Sedang aku duduk menunggu Hafiz jika dia datang telefon pun berdering. Aku mengangkat dan aku amat terperanjat apabila diberitahu oleh keluarga Hafiz bahawa dia telah dilanggar oleh sebuah kereta dan sedang berada di hospital. Pelbagai pertanyaan berlegar dalam kepalaku, aku terduduk apabila mendengar khabar buruk yang terjadi kepada kawan karibku.

    Tidak lama kemudian keluargaku tiba, mereka yang sudah mengetahuinya terus membawaku ke hospital. Setiba kami di sana terdapat ramai orang. Mereka memberitahuku yang Hafiz sudah meninggal. Aku amat sedih dan hiba. Ibunya memberitahu aku bahawa Hafiz dihantar ke hospital pada pukul 6 petang dalam keadaan koma. Namun aku merasa hairan kerana Hafiz ada di rumah pukul 6.

    Aku cuba memberitahu keluargaku namun mereka tidak percaya. Siapa yang berada di rumah ketika itu menjadi pertanyaanku sampai kini. Tapi aku percaya bahawa Hafiz berada di rumahku ketika itu untuk memberitahu bahawa dia akan pergi untuk selama-lamanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda