BERLIN, 1 MEI — Syarikat pengangkutan awam di Jerman berkata lebih daripada tiga juta orang telah mengambil tiket baharu yang dilancarkan hari ini yang membolehkan mereka menggunakan semua perkhidmatan kereta api tempatan dan serantau, bas dan metro di seluruh negara dengan bayaran 49 euro (AS$53.90) sebulan.
Tiket Jerman baharu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai meninggalkan kereta mereka bagi bentuk pengangkutan yang lebih mesra alam. Ia susulan daripada tiket eksperimen ‘all you can ride’ bernilai 9 euro yang terbukti berjaya pada tahun lepas, tetapi menurut pegawai tidak praktikal dari segi kewangan.
Tiket baharu itu dianggap sebagai revolusi dalam sistem transit awam Jerman yang berpecah-belah di mana berpuluh-puluh syarikat serantau menawarkan pelbagai pilihan tambang berbeza yang membingungkan orang ramai.
Tiket Jerman akan sah untuk hampir semua bentuk pengangkutan awam selain daripada kereta api jarak jauh antara bandar. Perjalanan merentas desa masih boleh dilakukan menggunakan kereta api serantau, dengan ketara mengurangkan kos bagi sesetengah orang yang pernah membayar ratusan euro sebulan untuk perjalanan harian mereka.
Canselor, Olaf Scholz memuji tiket baharu itu sebagai “tawaran mudah dan murah yang akan menjadikan pengangkutan awam lebih menarik dan membantu kami mencapai matlamat iklim kami.”
Pejuang anti-kemiskinan menggesa agar tiket yang sudah pun diberikan subsidi itu dibuat lebih murah, sekurang-kurangnya untuk keluarga, golongan muda dan mereka yang berpendapatan rendah, yang masih menganggap ia sebagai satu pilihan yang mahal. – AP