KOTA BHARU – Sepanjang bulan Ramadan gerai Ayam Bakar Tempayan Bangkok di Wakaf Stan, Kubang Kerian, di sini, dipenuhi barisan panjang pelanggan sebaik jualan dibuka.
Bukan sekadar gimik pada nama untuk melariskan jualan, gerai yang diusahakan oleh Wira Mohd Fauzi, 41, sememangnya menyediakan ayam bakar menggunakan resepi dari Thailand.
“Ayam bakar ini dihasilkan dari resepi turun-temurun keluarga isteri saya Nur Hanim Abdullah, 37, yang berasal dari Udon Thani, Thailand. Selain itu cara pembakaran menggunakan tempayan menjadikan ayam ini cepat masak, isi lembut dan lebih enak.
“Saya hanya memilih ayam yang memiliki berat kurang 1.5 kilogram (kg) digunakan untuk jualan kerana memiliki daging yang lebih sedap.
“Proses memerap ayam dibuat seawal 4 pagi menggunakan bahan perapan khas seperti rempah ratus Thailand,” katanya kepada Bernama.



Wira berkata dia menjual Ayam Bakar Tempayan Bangkok ini pada harga RM24 hingga RM26 seekor.
“Sepanjang bulan Ramadan, kira-kira 200 ekor ayam habis dijual,” katanya yang mula mengusahakan perniagaan tersebut sejak 2018.
Wira yang kini memiliki tujuh pekerja berkata setiap pembelian ayam bakar jualannya itu dibekalkan dengan tiga jenis sos istimewa iaitu sos merah (sos manis), sos hijau (seafood sos) dan sos hitam.
Malah dia tidak menyangka ideanya menjual ayam bakar dalam tempayan diterima ramai menyebabkannya tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan
“Sepanjang mengusahakan Ayam Bakar Tempayan Bangkok ini, saya mendapat maklum balas positif dari pelanggan. Rata-rata suka dengan rasa dan tekstur ayam jualan saya ini,” katanya. – Bernama