Friday, October 18, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkembang maju hadapi trend pasaran berubah

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Dalam dunia yang pesat berubah, keupayaan untuk menyesuaikan diri bukan sahaja menjadi satu kemahiran tetapi pemikiran yang mustahak bagi kejayaan.

    Oleh itu, dengan landskap perniagaan yang dinamik, keupayaan kita untuk mengemudi dan berkembang maju dalam menghadapi transformasi adalah apa yang akan membezakan kita, jelas Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan Darussalam Enterprise (DARe), Daniel Leong dalam ucapan alu-aluannya pada Acara Enterprise Growth Connect (EGC) 2024 yang berlangsung di Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan ucapan khas pada acara berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) dan Timbalan Pengerusi LKEB dan DARe, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

    Acara yang membawa tema Thrive Through Transformation: Entrepreneurial Adaptability itu dihadiri oleh usahawan, pemilik perniagaan dan pemimpin industri yang ingin meneroka peluang-peluang kolaborasi dan pertukaran ilmu pengetahuan bagi pertumbuhan bersama.

    Dalam ucapannya lagi, Daniel Leong berkata acara EGC merupakan sebuah platform bagi inspirasi, kolaborasi dan pertukaran ilmu pengetahuan di mana perkongsian kisah-kisah kejayaan diharap menjadi pembimbing bagi mereka yang dalam perjalanan pertumbuhan, memupuk peluang rangkaian serta kolaborasi.

    Anna Lim berkongsi mengenai kisah perjalanan turun naik sebagai seorang usahawan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara yang hadir pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Acara itu, tambahnya, turut menyediakan ruang yang mantap di mana perniagaan boleh berhubung, belajar dan berpotensi untuk menubuhkan kerjasama.

    “Secara asasnya, acara ini merupakan satu pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi, meraikan pencapaian, memberikan inspirasi bagi usaha masa hadapan dan mengukuhkan fabrik saling berkait komuniti perniagaan kita,” tambahnya.

    EGC 2024 bermatlamat untuk mengetengahkan pentingnya bagi perniagaan untuk berdaya tahan, inovatif dan boleh menyesuaikan supaya kekal relevan. Acara itu mengetengahkan pembentangan daripada pembentang-pembentang undangan termasuk Cef dan Pengasas Bersama Soup Spoon dari Singapura, Anna Lim.

    Beliau yang mempunyai lebih 20 buah cawangan Soup Spoon di Singapura mengongsi mengenai perjalanan pertumbuhannya dengan memberikan pandangan mengenai kaedah mengatasi turun dan naik yang dialami sebagai seorang usahawan.

    Pembentang antarabangsa kedua ialah Ketua Kerjasama Global di ParagonCorp (Wardah Beauty), Guzelya Marisova dari Indonesia yang berkongsi bagaimana Wardah Beauty dapat bergerak daripada sebuah perniagaan dari rumah kepada menjadi sebuah peneraju kosmetik halal.

    Kedua-dua pembentang mengongsikan pengalaman mereka bagaimana perniagaan masing-masng berkembang maju dan berubah untuk memenuhi trend pasaran berubah dan permintaan pelanggan.

    Acara juga menyaksikan sesi pembentangan yang dikendalikan oleh Enterprise Fellow dan Bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Enterprise Singapore, Ted Tan di mana ia mengetengahkan panel yang terdiri daripada Anna Lim, Guzelya Marisova serta pemenang-pemenang Anugerah Proudly Brunei Business Awards, Poh Tee Tsang dari Taurean Bakeshop dan Haji Ibrahim Khalili dari SPHI Foods.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda