ICHIHARA, JEPUN, 11 MAC – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), pagi tadi berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Stesen Jana Kuasa Terma Anegasaki di Ichihara.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Presiden Japan’s Energy for a New Era (JERA), Hisahude Okuda; Pengarah Stesen Jana Kuasa Terma Anegasaki, Kentaro Saga; dan Pegawai Eksekutif Urusan Kanan JERA, Kazunori Kasai.
Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia disembahkan taklimat mengenai Syarikat JERA – usaha sama antara Tokyo Electric Power Company dan Chubu Electric Power iaitu syarikat yang mengoperasikan Stesen Jana Kuasa Terma Anegasaki. Ini diikuti dengan tayangan video mengenai Stesen Jana Kuasa Terma Anegasaki.
Duli Yang Teramat Mulia juga berkesempatan berangkat melawat Central Control Room, iaitu pusat kawalan stesen tersebut, dan Bangunan Turbine No. 1.
Stesen Jana Kuasa Terma Anegasaki, dengan kapasiti sebanyak 3.15 gigawatt, merupakan stesen jana kuasa digital yang pertama dibina oleh Syarikat JERA. Stesen jana kuasa ini mampu menjana kuasa yang lebih bersih dan efisien serta pelepasan karbon dioksida yang rendah dengan menggunakan teknologi turbin gas kitaran gabungan (CCGT).
Matlamat Syarikat JERA ke arah sifar pelepasan karbon dioksida menjelang tahun 2050 melalui antara lainnya, penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui, juga selaras dengan komitmen negara ke arah matlamat yang sama.
Sepanjang lima dekad yang lalu, syarikat-syarikat Jepun seperti JERA merupakan pelanggan asas Negara Brunei Darussalam bagi sektor tenaga.
Dalam masa yang sama, Brunei komited untuk meneruskan peranannya sebagai pembekal tenaga yang boleh dipercayai dalam memenuhi keperluan keselamatan tenaga Jepun, melalui bekalan tenaga kepada JERA dan pelanggan yang lain di Jepun.