Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) kelmarin, berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), di Jalan Kebangsaan.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, selaku ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, selaku ahli Lembaga Pengarah dan juga Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah YSHHB.
Turut menjunjung keberangkatan ialah Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku ahli Lembaga Pengarah dan Timbalan Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah YSHHB; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan dan ahli-ahli Lembaga Tadbir Sekolah YSHHB.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi turut menyembahkan ucapan alu-aluan, diikuti dengan taklimat dengan memaparkan perkembangan dan pencapaian sekolah yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.
Semasa lawatan kerja berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menandatangani Lembaran Keberangkatan dan menerima pesambah yang disembahkan oleh pihak Sekolah YSHHB, diikuti dengan meninjau Perpustakaan Sekolah YSHHB.
Atur cara diteruskan lagi dengan keberangkatan lawatan dari Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) YSHHB, dengan menyaksikan aktiviti-aktiviti dalam kelas seperti nyanyian, seni kreatif, olahraga, pertunjukan muzik dan sesi latihan sukan renang.
Lawatan diteruskan ke Sekolah Rendah YSHHB di mana Duli Yang Teramat Mulia berkenan berinteraksi dengan pelajar-pelajar sekolah rendah dengan disembahkan beberapa aktiviti oleh para pelajar berkenaan seperti aktiviti seni kaligrafi, persembahan silat, bermukun, pameran iPad termasuk menyaksikan taman mini.
Dari sekolah rendah, lawatan kerja diteruskan ke Sekolah Menengah YSHHB dan Duli
Yang Teramat Mulia dijunjung bagi menyaksikan pelbagai pameran oleh para pelajar sekolah antaranya pameran mengetengahkan Bahasa Melayu, Melayu Islam Beraja (MIB), Sains, projek perniagaan, Business, Art & Technology, dan Program GLOW.
Duli Yang Teramat Mulia juga disembahkan dengan persembahan karate.