Saturday, September 14, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan adakan perjumpaan bersama PM Malaysia

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, sempena Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan kali ke-25 antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, yang telah berlangsung di Istana Nurul Iman.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Empat Mata bersama TYT Perdana Menteri Malaysia di Cheradi Ratna Kenchana, yang mana kedua-dua pemimpin telah berbincang mengenai langkah-langkah untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala, khususnya perkembangan dalam melaksanakan Exchange of Letters, iaitu satu perjanjian yang dimeterai di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia pada tahun 2009.

    Semasa perjumpaan itu, kedua-dua pemimpin juga telah bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama kepada kedua-dua buah negara.

    Selesai Majlis Perjumpaan Empat Mata, Baginda Sultan kemudiannya berangkat bersama TYT Perdana Menteri Malaysia ke Baitul Mesyuarah bagi menyaksikan Majlis Penandatanganan Pertukaran Nota dan Memorandum-memorandum Persefahaman di antara kerajaan Baginda Sultan dengan kerajaan Malaysia, iaitu bagi Exchange of Notes at the Ministerial Level to Make Joint Progress in Sector F-G.

    Majlis penandatanganan pertukaran nota tersebut disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; dan Menteri Luar Negeri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Utama Haji Mohammad bin Haji Hasan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, kelmarin berkenan berangkat mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri Malaysia, TYT Dato’ Seri Anwar sempena Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan kali ke-25 antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia di Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan menghadiri Majlis Perjumpaan Empat Mata bersama TYT Perdana Menteri Malaysia. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat mengadakan perjumpaan bersama TYT Dato’ Seri Anwar. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat ke Majlis Santap Tengah Hari sempena Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan kali ke-25 antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Abdul ‘Malik semasa berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah Hari bersama TYT Perdana Menteri Malaysia. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyaksikan majlis penandatanganan tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan menzahirkan ucapan selamat bertolak kepada TYT Dato’ Seri Anwar. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Rombongan kerajaan Malaysia ketika menyaksikan majlis penandatanganan tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : Majlis penandatanganan Exchange of Notes at the Ministerial Level to Make Joint Progress in Sector F-G; Memorandum of Understanding between the Government of Brunei Darussalam and the Government of Malaysia on Phase One of the Joint Demarcation and Survey of the Land Boundary between Brunei Darussalam and Malaysia for Sector D – E, Specific Sections in Sector C – D, Sector E – F, Sector K – L and Part of Sector J – K in the Vicinity of Jambatan Persahabatan and Block B in the Vicinity of Brunei Bay; dan Memorandum of Understanding on Cooperation in the Field of Transport. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Manakala bagi Memorandum of Understanding between the Government of Brunei Darussalam and the Government of Malaysia on Phase One of the Joint Demarcation and Survey of the Land Boundary between Brunei Darussalam and Malaysia for Sector D – E, Specific Sections in Sector C – D, Sector E – F, Sector K – L and Part of Sector J – K in the Vicinity of Jambatan Persahabatan and Block B in the Vicinity of Brunei Bay, menandatangani bagi pihak kerajaan Baginda Sultan ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan; dan kerajaan Malaysia diwakili oleh Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato’ Sri Amran Mohamed Zin, dalam kapasiti mereka sebagai pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat Brunei Darussalam – Malaysia.

    Sementara bagi Memorandum of Understanding on Cooperation in the Field of Transport pula, majlis penandatanganannya disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha bagi pihak kerajaan Baginda Sultan; dan TYT Dato’ Seri Utama Haji Mohammad bagi pihak kerajaan Malaysia.

    Turut menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

    Pada sebelah tengah hari, Baginda Sultan seterusnya berangkat bersama TYT Dato’ Seri Anwar ke Baiturrahmah untuk menghadiri Majlis Santap Tengah Hari sempena Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan kali ke-25 antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

    Berangkat sama ialah ahli-ahli kerabat diraja.

    Majlis Santap Tengah Hari berkenaan dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Pada penghujung acara, Baginda Sultan menzahirkan ucapan selamat bertolak kepada TYT Dato’ Seri Anwar.

    Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia telah diadakan secara bergilir-gilir sejak tahun 1997 di mana para pemimpin kedua-dua buah negara berbincang untuk meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang.

    Ianya termasuk bidang ekonomi, pendidikan, pertahanan, pelancongan, kebudayaan, sukan dan kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda