NEW YORK, 24 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berangkat menghadiri perjumpaan secara berasingan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Tuan Yang Terutama António Guterres dan Presiden Republik Kosovo, Puan Yang Terutama Vjosa Osmani-Sadriu, kelmarin.
Perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Setiusaha Agung PBB
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berangkat mengadakan perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Setiausaha Agung PBB yang berlangsung di Ibu Pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat.
Semasa perjumpaan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia antara lainnya bertitah menekankan, dalam menyambut ulang tahun ke-40 menjadi ahli kepada PBB pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam telah mendapat manfaat secara meluas daripada keahlian berkenaan. Oleh itu, Brunei menekankan komitmen teguh kepada sistem pelbagai hala melalui misi-misi pengaman dan inisiatif-inisiatif menangani kemiskinan dan pendidikan.
Di peringkat serantau, sokongan PBB telah memberi manfaat kepada semua negara anggota ASEAN. Tambahan pula, ASEAN telah mengambil langkah kukuh dalam merealisasikan usaha-usaha pembangunan komuniti dengan rakan-rakan dialog termasuk mengalu-alukan kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN.
Selain itu, penyelesaian diplomatik bagi situasi politik di Myanmar yang berpandukan Konsensus Lima Perkara turut ditimbulkan oleh Baginda. Dalam perkara ini, kerjasama yang lebih kukuh antara UN Special Envoy to Myanmar dan Special Envoy to ASEAN Chair on Myanmar juga perlu lebih digalakkan.
Akhir sekali, Negara Brunei Darussalam kekal komited untuk terus bekerjasama rapat bersama Tuan Yang Terutama dan PBB. bagi memajukan lagi kerjasama pada tahun-tahun mendatang.

Perjumpaan dua hala bersama Puan Yang Terutama Presiden Republik Kosovo
Seterusnya di Park Hyatt New York, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengadakan perjumpaan dua hala bersama Puan Yang Terutama Presiden Republik Kosovo, di mana Baginda bertitah mengalu-alukan Puan Yang Terutama dan delegasi ke Negara Brunei Darussalam bagi lawatan negara pada 2 hingga 3 Disember.
Mengenai hubungan dua hala, sejak menjalinkan hubungan diplomatik pada 2017, Negara Brunei Darussalam dan Republik Kosovo mengekalkan hubungan mesra terutama kerjasama pendidikan melalui program biasiswa yang dianugerahkan kepada 14 pelajar Kosovo sejak 2001. Dalam hal ini, Baginda mengalu-alukan lebih banyak pelajar Kosovo untuk melanjutkan pelajaran di bawah Biasiswa Kerajaan Negara Brunei Darussalam bagi memupuk persahabatan dan persefahaman yang lebih erat di kalangan belia.
Di samping itu, sumbangan kewangan Brunei melalui Tabung Insaniah Kosovo 2000 telah membantu pembiayai biasiswa untuk pelajar Kosovo dan rumah anak yatim, serta membina sekolah dan masjid-masjid.
Menyentuh mengenai PBB, Baginda, antara lainnya menekankan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk menggalakkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Kosovo di bawah Misi Pentadbiran Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kosovo (UNMIK).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Puan Yang Terutama juga membincangkan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk perkembangan di Rusia-Ukraine; situasi di Palestin-Israel serta hubungan kuasa-kuasa besar.


