Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat ke Manama, Bahrain bagi mengadakan Keberangkatan
Negara bermula hari ini hingga 11 Jun.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah kerabat diraja.
Berangkat sama dan hadir di hangar berkenaan bagi menyembahkan selamat berangkat ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia; Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja, menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
