Saturday, March 29, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke Majlis Hari Pengakap ke-40

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Ketua Pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan waran-waran pesuruhjaya, pingat-pingat pengakap kepada pemimpin-pemimpin pengakap, sijil-sijil penghargaan kepada pengetua-pengetua dan guru-guru besar sekolah yang mempunyai pasukan serta Anugerah Baden Powell bagi ahli-ahli pengakap kelana pada Majlis Sambutan Hari Pengakap ke-40.

    Berangkat sama ke majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Kompleks Pengakap, kelmarin, itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia berdua ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhor-mat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Sulaiman; Yang Di-Pertua PPNBD, Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan sembah alu-aluannya daripada Haji Matusin yang antara lain mengongsikan perkembangan keahlian PPNBD sehingga Disember 2020 iaitu seramai 1,771 orang, meningkat sebanyak 556 orang berbanding Disember 2019 yang berjumlah 1,215 orang.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudiannya dijunjung untuk mengurniakan sabda dan seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan pingat-pingat pengakap.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan beramah mesra bersama pengakap kanak-kanak.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota semasa berkenan dijunjung bagi menyempurnakan pengurniaan pingat-pingat kepada pemimpin-pemimpin pengakap, waran perlantikan dan sijil penghargaan.

    Seramai 102 pemimpin pengakap menerima kurnia pingat pengakap, 20 ahli pengakap menerima Pingat Jasa Kebaktian, 15 pemimpin pengakap menerima Pingat Jasa Cemerlang Pengakap bagi penglibatan dan komitmen yang tinggi kepada PPNBD dan 23 pemimpin pengakap menerima Pingat Peringatan Baik Pengakap bagi penglibatan dan komitmen kepada
    PPNBD.

    Sementara itu, tujuh lagi pemimpin pengakap menerima Pingat Peringatan Lama Pengakap bagi penglibatan dan perkhidmatan yang berterusan kepada PPNBD dan 37 ahli pengakap menerima Pingat Kepujian Ketua Pengakap.

    Majlis kemudiannya menyaksikan pengurniaan waran kepada 27 pesuruhjaya negara dan 39 penolong pesuruhjaya pengakap daerah yang sudah dilantik memegang tanggungjawab di bahagian masing-masing.

    Pengurniaan sijil-sijil penghargaan diteruskan kepada pengetua-pengetua dan guru-guru besar sekolah yang mempunyai pasukan pengakap.

    Seramai 12 ahli pengakap kelana pula menerima Anugerah Baden Powell.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyertai sesi bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PPNBD.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda